Alhamdulillah, selesailah sudah kemelut di Terengganu. Calon yang dipilih Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) dipersetujui oleh MKT UMNO.
Dengan ini Dato’ Ahmad Said, MB Terengganu yang telah dilantik dengan persetujuan DYMM Sultan Terengganu memikul amanah Sultan dan rakyat Terengganu yang amat besar.
Sebagai orang baru, tentulah banyak perkara baru yang akan diperkenalkan. Dalam banyak-banyak perkara baru, satu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh Dato Ahmad Said ialah penggunaan Wang Ehsan hasil dari petroleum dari perut bumi Terengganu.
Dato’ Ahmad Said perlu membuat pembaharuan dengan memaklumkan kepada rakyat marhaen berapakah Wang Ehsan yang diterima. Selain itu, perbelanjaan setiap sen daripada wang ini perlulah dibentangkan. Jelaskan kepada rakyat apa kemana kerajaan Terengganu telah dan akan belanjakan wang tersebut.
Petroleum di perut bumi Terengganu adalah anugerah Allah kepada Darul Iman. Rakyat Darul Iman mempunyai hak untuk mengetahui kemana hasil negeri mereka dibelanjakan.
Walaupun kerajaan Terengganu telah atau akan membelanjakan beratus juta ringgit untuk sesuatu projek, jangan kuathir, rakyat tidak akan marah. Mereka tidak marah sekiranya mereka mengetahui wang tersebut dibelanjakan untuk kepentingan negeri dan rakyatnya.
Buatlah apa sahaja dengan wang tersebut. Belanjakanlah beratus-ratus juta wang tersebut. Rakyat tidak akan menyoalnya sekiranya perbelanjaan tersebut adalah untuk kebaikan kebajikan rakyat Terengganu.
Tetapi menyahut seruan YAB Perdana Menteri yang ingin memastikan sebuah kerajaan yang telus, maka sesuailah sekiranya YAB Dato’ Ahmad Said menyahut seruan ini. Bentangkanlah sejelas-jelasnya tentang penggunaan Wang Ehsan tersebut. Jika perlu, auditlah akaun Wang Ehsan itu dengan mengambil firma-firma Audit antarabangsa yang bebas.
Niat dihati, tunjukkan bukti!