1. Jika dilihat apa yang berlaku semasa Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir hari ini, setiap kali nama Khairy Jamaludin disebut oleh Pengerusi Tetap, pembahas usul dan kepimpinan, beliau telah di”boo” terang-terangan oleh perwakilan.
2. Ini pernah berlaku semasa beliau menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dalam Pemilihan UMNO yang lepas. Diwaktu itu beliau turut di”boo” oleh perwakilan.
3. Apabila ditanya oleh pemberita hari ini, mantan Presiden UMNO, Dato Seri Abdullah Badawi yang juga bapa mertua kepada Khairy berkata beliau yakin bahawa lambat laun Khairy akan diterima. Menurut Abdullah, perkara yang sama berlaku semada Anwar Ibrahim memenangai jawatan Ketua Pemuda UMNO dengan mengalahkan Dato’ Suhaimi Kamaruddin dengan majoriti 10 undi.
4. Penulis agak kurang bersetuju dengan kenyataan Abdullah ini. Jika dilihat sejarah, Anwar dibawa masuk oleh Dr Mahathir kedalam UMNO dan dibantu agar beliau memenangai jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan tahun 1982.
5. Selepas itu, Anwar terus diasuh dan dibimbing oleh Dr Mahatahir sehingga dipilih menjadi Naib Presiden pada tahun 1987 seterusnya sebagai Timbalan Presiden UMNO pada 1993 apabila Allahyarham Tun Ghafar Baba tidak mendapat sokongan dari bahagian-bahagian.
6. Didalam kes Khairy Jamaludin, beliau telah diberi laluan mudah sebelum ini untuk menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO semasa bapa mertuanya mula-mula dilantik sebagai Perdana Menteri.
7. Pada masa itu, benar, apa yang dihadapi Khairy apabila memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda tanpa bertanding mirip kepada kemenangan Anwar keatas Datuk Suhaimi Kamarudin.
8. Selepas berada dibawah naungan, sokongan dan bimbingan bapa mertuanya selama 5 tahun selepas memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda, tiba-tiba beliau kehilangan tempat bergantung.
9. Bapa mertuanya tidak lagi menjadi Presiden UMNO dan akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri minggu hadapan (InsyaAllah). Tentulah ini akan terus menyukarkan Khairy.
10. Walaupun selepas 5 tahun bi bawah naungan bapa mertuanya, beliau masih belum mendapat kepercayaan sepenuhnya dari akar-umbi UMNO. Malah beliau masih bi”boo” selepas 5 tahun “boo” pertamanya.
11. Ini berbeza dengan Anwar. Beliau terus mendapat kepercayaan selepas hanya 5 tahun, beliau terus terpilih sebagai Naib Presiden UMNO. Beliau juga pada waktu itu berjaya menggunakan strategi dan pemasaran politik yang baik sehingga dapat menampilkan imej yang diterima baik oleh rakyat Malaysia. Imej sebagai bekas pemimpin ABIM yang dibawa Anwar menyebabkan beliau mudah diterima rakyat.
12. Ini amat berbeza sekali dengan keadaan yang dihadapi oleh Khairy Jamaludin sekarang. Beliau bukan sahaja tidak diterima oleh sebahagian besar akar umbi UMNO, tetapi beliau juga tidak disenangi oleh kebanyakkan rakyat Malaysia, walaupun selepas 5 tahun berada di persada politik tanah air.
13. Oleh yang demikian, kenyataan Dato’ Seri Abdullah bahawa apa yang dihadapi Khairy adalah sama dengan apa yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim, penulis rasa adalah kurang tepat.
14. Soalnya, mengapa terjadi begini? Mengapa selepas 5 tahun Khairy masih tidak diterima oleh sebahagian besar ahli UMNO dan rakyat Malaysia?
15. Tentulah empunya diri mempunyai jawapannya.
16. Atau…adakah akar umbi UMNO telah belajar dari sejarah Anwar Ibrahim di dalam UMNO dan mereka tidak ingin melihat ianya berulang lagi?
17. Jadi, bolehkah Khairy mengukuhkan dan mengambalikan kegemilangan Pemuda? Penulis merasakan tentulah Khairy mempunyai jawapan yang lengkap untuk pertanyaan ini.
Salam Hormat.