Warkah Menjunjung Kasih DYMM Paduka Seri Sultan Perak

Dengan segala hormat dan takzim patik merafak sembah dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dalam lindungan Allah Subhanahu Wata’ala.

Ampun Tuanku,

Melihat apa yang berlaku di negeri jajahan takluk Tuanku, Negeri Perak Darul Ridzuan akhir-akhir ini, tergerak hati patik untuk meluahkan coretan untuk dikongsi bersama dan direnung-renungkan oleh rakyat-rakyat jelata di negeri Tuanku khasnya dan rakyat Malaysia amnya.. Patik bukanlah anak jati Darul Ridzuan. Namun, patik diajar dan belajar mengenai sejarah Kesultanan Melayu, penjajahan asing terhadap Tanah Melayu, pembentukan Negara Malaysia dan juga sejarah Malaysia moden. Patik telah diasuh dan dididik supaya taat dan menghormati Raja patik dan sistem Raja Berpelembagaan. Patik sentiasa mengingati rukun kedua didalam Rukun Negara iaitu “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara”.

Walaupun patik dan orang-orang Melayu diajar agar patuh dan taat kepada Raja, Raja-raja Melayu cukup sedar bahawa baginda mempunyai tangungjawab besar memastikan rakyat jelata dibawah naugan baginda hidup dalam keadaan aman, harmoni dan selamat sejahtera. Peribahasa Melayu, “Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah” telah wujud lama dahulu. Ianya jelas sekali menunjukkan bahawa orang Melayu akan sentiasa tunduk patuh dan taat kepada Raja-raja mereka selagimana baginda raja-raja berlaku adil.

Ampun Tuanku,

Patik amat bersedih dan berdukacita melihat apa yang dilakukan oleh segelitir pemimpin dan rakyat di negeri Perak Darul Ridzuan akhir-akhir ini. Berpuluh tahun lamanya negeri Tuanku aman makmur diperintah oleh susur galur keturunan Tuanku dan diketuai oleh Memanda-memanda Menteri Besar yang patuh, taat dan setia kepada Raja mereka. Nama besar seperti Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz terpahat dalam sejarah negara sebagai antara Menteri Besar yang cukup dihormati.

Memanda-memanda Menteri Besar jajahan takluk Tuanku yang pertama sehingga yang kesembilan adalah datangnya dari sebuah parti politik yang lahirnya di Istana Diraja Johor, iaitu UMNO. Kelahiran parti ini disambut baik oleh Raja-raja Melayu ketika itu. Pemimpin-pemimpin parti yang diasaskan hasil dari perjuangan orang-orang Melayu ini meletakkan kesetiaan dan ketaatan kepada Raja-raja sebagai satu elemen penting dalam perjalanan politik mereka.

Ampun Tuanku,

Patik masih ingat apa yang berlaku di Terengganu dan Perlis semasa perlantikan Menteri Besar selepas Pilihanraya Umum yang lalu. YAB Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Badawi mencadangkan nama Menteri Besar yang beliau rasakan sesuai untuk mentadbir negeri-negeri tersebut. YAB Presiden UMNO telah berbincang dan berunding dengan pihak Istana agar calon yang beliau rasakan sesuai dipilih sebagai Menteri Besar. Namun, baginda Raja-raja di kedua-dua buah negeri merasakan adanya calon lain yang lebih sesuai demi untuk kesejahteraan, keamanan dan keharmonian rakyat dibawah jajahan takluk Baginda.

Apabila calon pilihan Dato’ Seri Abdullahh Badawi tidak mendapat perkenan pihak Istana, terdapat rasa tidak berpuashati dikalangan penyokong-penyokong calon-calon Menteri Besar yang tidak terpilih. Kemarahan segelintir penyokong ini pada awalnya meluap-luap, akhirnya reda selepas Baginda Raja-raja di kedua buah negeri tersebut berpegang kepada keputusan mereka untuk memilih Memanda Menteri Besar yang Baginda rasakan sesuai. Kepimpinan UMNO juga menerima dengan hati terbuka Menteri Besar-menteri besar yang dipilih oleh Baginda Raja-raja di kedua-dua buah negeri tersebut.

Peristiwa diambang penamaan calon untuk Pilihanraya Umum ke-11 pada 2004 juga mengingatkan patik betapa hormat dan taatnya kepimpinan UMNO kepada raja-raja. Di waktu itu, telah diumumkan bahawa YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Ghani Othman akan diletakkan bertanding di peringkat Parlimen. Namun, diatas permintaan Istana Johor, beliau diletakkan semula bertanding di Dewan Undangan Negeri untuk membolehkan beliau terus menjawat jawatan sebagai Menteri Besar.

Ampun Tuanku,

Peristiwa-peristiwa diatas jelas menunjukkan bahawa parti yang ditubuhkan di Istana ini terlalu dekat jiwanya dengan Istana dan Baginda Raja-raja Melayu. Hormat, taat, setia dan patuhnya melebihi kepentingan politik parti itu dan pemimpinnya sendiri. Diwaktu mereka kuat ataupun lemah, parti ini tidak pernah sesekali membelakangkan raja-raja Melayu.

Ampun Tuanku,

Berbalik tentang keadaan Negeri Perak Darul Ridzuan akhir-akhir ini. Pada Pilihanraya Umum ke-12 lalu, Barisan Nasional telah memenangi 28 kerusi dari 59 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak. DAP, PKR dan PAS masing-masing memenangi 18, 7 dan 6 kerusi. Diwaktu itu masih belum wujudnya gagasan yang kini dipanggil Pakatan Rakyat. Sebelum kerajaan negeri baru ditubuhkan, telah diwar-warkan di media massa bahawa antara opsyen yang ada ialah untuk UMNO membentuk kerajaan minoriti. Ketiadaan pakatan formal antara DAP, PKR dan PAS juga dipersoalkan oleh pelbagai pihak.

Apabila DAP, PKR dan PAS ingin membentuk kerajaan berdasarkan persefahaman antara mereka, ketiga-tiga parti tersebut telah dimaklumkan bahawa didalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Memanda Menteri Besar Perak mestilah seorang Melayu beragama Islam. Hasrat DAP untuk meletakkan salah seorang ADUN mereka sebagai Menteri Besar tidak tercapai. Ketiga-tiga parti diminta berunding dan memberikan senarai-senarai calon-calon yang layak untuk menjadi Memanda Menteri Besar negeri Tuanku.

Apabila persefahaman dicapai, Tuanku dengan hati terbuka menerima Ir. Mohd Nizar Jamaludin sebagai Memanda Menteri Besar Perak yang baru dan membenarkan kerajaan persefahaman DAP, PKR dan PAS ditubuhkan. Pada masa itu gegak gempita dikalangan pemimpin dan penyokong ketiga-tiga parti tersebut di negeri Perak yang cukup gembira dengan keputusan Tuanku tersebut.

Ianya tercatat dalam sejarah Negeri Perak dimana buat pertama kalinya semenjak tahun 1950 Memanda Menteri Besar adalah dari parti selain dari UMNO. Ianya dari parti PAS yang mempunyai ADUN paling sedikit didalam Dewan Undangan Perak dikalangan ketiga-tiga parti yang bergabung tersebut. Itulah dikatakan takdir Allah SWT. Sebelum Pilihanraya Umum ke-12, tentunya Ir Nizar Jamaludin tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti beliau bakal diangkat sebagai Memanda Menteri Besar di jajahan takluk Tuanku.

Ampun Tuanku,

Patik masih ingat pada masa itu pemimpin dan penyokong ketiga-tiga parti memuji Tuanku melangit. Tuanku dipuji sebagai seorang Raja yang adil, seorang Raja yang berpendidikan tinggi dan berpengatahuan luas dalam bidang perundangan dan segala pujian lain yang enak didengar. Tuanku dikatakan telah mengambil kira semua aspek perundangan yang perlu dalam membuat keputusan membenarkan pembentukan kerajaan persefahaman DAP, PKR dan PAS yang diterajui oleh Ir Nizar Jamaludin.

Patik dapat merasakan pujian-pujian dari pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong ketiga-tiga parti tersebut masih terngiang-ngiang di telinga rakyat jelata hingga ke hari ini.

Ampun Tuanku,

Segala pujian dan rasa hormat pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat kepada Tuanku hilang apabila Tuanku membuat keputusan yang tidak menyebelahi mereka pada 5 Februari 2009. Pujian-pujian melangit 11 bulan sebelumnya bertukar menjadi tohmahan dan amukan terhadap titah Tuanku bahawa DUN Perak tidak akan dibubarkan dan Memanda Menteri Besar Ir Nizar Jamaludin dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan meletakkan jawatan.

Alasan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ialah Tuanku bertindak diluar bidang kuasa Tuanku seperti yang termaktub didalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Patik bukanlah pakar dalam bidang perundangan. Tetapi, daripada ulasan-ulasan yang dibuat oleh beberapa pakar undang-undang, ianya jelas menunjukkan mereka sendiri masih belum mempunyai kesimpulan yang jelas. Ramai yang berkata ianya didalam bidang kuasa Tuanku dan tidak kurang juga yang berkata ianya tertakluk kepada penafsiran undang-undang tersebut dan ada juga yang cukup yakin mengatakan ianya diluar bidang kuasa Tuanku.

Ini membuatkan patik terfikir. Adakah mereka-mereka yang membuat ulasan tentang perundangan ini benar-benar memahami tafsiran Undang-undang Tubuh Negeri Perak? Bukahkah ramai yang terpinga-pinga selepas Pilihanraya Umum ke-12 apabila dimakluman bahawa Memanda Menteri Besar Perak mestilah seorang Melayu yang beragama Islam? Jika perkara sebegini tidak diketahui dan difahami oleh banyak pihak, adakah mereka-mereka ini benar-benar memahami Undang-Undang Tubuh Negeri Perak secara keseluruhannya?

Ampun Tuanku,

Patik kurang cerap mengapakah mereka yang 11 bulan lalu memuji Tuanku sebagai seorang yang tinggi integriti dan ilmu perundangannya serta membuat keputusan yang adil untuk rakyat Perak, kini mempertikaitan titah Tuanku beralasankan perundangan. Adakah mereka fikir bahawa integiri dan ilmu perundangan dan keadilan Tuanku boleh lenyap begitu sahaja selepas 11 bulan?

Atau adakah kerana keputusan tersebut tidak menyebelahi mereka, maka segala pujian dan hormat mereka 11 bulan lalu bertukar menjadi tohmahan dan amukan? Jika inilah sebabnya, maka jelaslah bahawa mereka tidak memahami dengan mendalam konsep keadilan itu sendiri.

Ampun Tuanku,

Patik amat yakin Tuanku telah mengambil kira pelbagai aspek dalam menitahkan agar DUN tidak dibubarkan dan menitahkan agar Memanda Menteri Besar yang kesepuluh dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengundur diri secara tehormat.

Patik berdoa agar Tuanku, kerabat-kerabat Tuanku dan Negeri Jajahan Tuanku, Perak Darul Ridzuan sentiasa dalam lindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Patik dengan segala hormat takzimnya,

Radzi Jidin
Canberra
Australia

Published in: on February 9, 2009 at 7:52 am Comments (1)

Karpal dan Anwar

1. Heboh di gelanggang Pakatan Rakyat apabila YB Karpal Singh membuat kenyataan bahawa Anwar patut berundur dari menjadi pemimpin Pakatan Rakyat dan bertaubat!.

2. Penulis bukanlah peminat atau penyokong Karpal. Penulis cukup tidak senang dengan hasrat Karpal untuk menyaman Paduka Seri Sultan Perak di Mahkamah. Itu satu tindakan kurang ajar yang menunjukkan dengan jelas bahawa Karpal tidak langsung mempunyai hormat kepada Institusi Kesultanan Melayu.

3. Apa yang penulis ingin sentuh sedikit ialah komen Karpal menyatakan bahawa Anwar mempromosikan budaya lompat parti yang telah menimbulkan masalah kepada PR.

3. Ish!ish!ish! nampaknya Karpal masih tidak faham budaya PR. Bagi penyokong PR, khususnya PKR, semua yang dilakukan Anwar adalah benar. Semua yang diperkatakan Anwar adalah benar. Apa sahaja yang keluar dari mulut Anwar adalah benar.

4. Maka sudah tentulah pendapat Karpal ini bagai mencurah air ke daun keladi.

5. Karpal harus sedar, bagi penyokong-penyokong Pakatan Rakyat, Anwarlah segalanya. Bagi mereka, Pakatan Rakyat hidup kerana Anwar Ibrahim bukan kerana Karpal Singh!

6. Mungkin juga penyokong-penyokong ini tidak pernah terfikir, jika ditakdirkan Allah Anwar tiada, siapakah yang bakal menggantikan tempat beliau?

Published in: on February 8, 2009 at 11:08 pm Comments (2)

Kembali Menulis

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

1. Telah lama penulis tidak menulis di blog ini. Ramai rakan-rakan yang tertanya-tanya.

2. Apabila pertama kali blog ini diwujudkan, penulis menggunakan blog ini untuk meluahkan pandangan  berkaitan apa yang berlaku dalam Barisan Nasional, khususnya UMNO selepas Pilihanraya Umum ke-12 dan politik Malaysia amnya.

3. Pada pandangan penulis, perlu adanya perubahan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk memastikan UMNO dan BN terus relevan.

3.  Selepas diumumkan bahawa YAB Dato’ Seri Abdullah akan tidak akan bertanding sebagai Presiden UMNO dan seterusnya beliau akan menyerahkan kuasa kepada YAB Dato’ Sri Najib selepas Perhimpunan Agung UMNO, penulis bersyukur.

4. Jadi, selepas pengumuman YAB Dato’ Seri Abdullah, penulis tidak berhasrat menulis terlalu banyak tentang politik semasa khususnya UMNO sehinggalah selepas Pemilihan UMNO Mac ini.

5. Namun, memandangkan ada rakan-rakan dan sahabat handai ingin bertukar-tukar pendapat tentang pelbagai isu semasa khususnya apa yang berlaku di Perak, penulis membuat keputusan untuk kembali menulis lebih awal dari sepatutnya.

Published in: on at 1:29 am Comments (1)

Rafidah Tidak Berundur, Sharizat Tertekan!!

1. Dalam tulisan sebelum ini berkaitan isu samada Tan Sri Rafidah Aziz akan berundur semasa Pemilihan UMNO Mac nanti, penulis ada menyatakan “Apapun, kita tengok samada lojik dan rasional Rafidah dapat mengatasi egonya hari ini!”.

2. Mesyuarat Exco Wanita terus menyokong pelan peralihan kuasa Wanita UMNO pada Jun 2009. Rafidah juga enggan berganjak dari keputusannya untuk berundur pada Jun 2009.

3. Menurut Rafidah, beliau tahu bila beliau patut berundur!!!

4. Penulis tidak ingin menulis panjang tentang kenyataan Rafidah. Terpulang kepada pembaca untuk menilainya dan membuat kesimpulan.

5. Apapun, keadaan ini akan semakin menekan Sharizat. Sekiranya beliau tidak menentang Rafidah, beliau perlu menentang Dato’ Kamalia Ibrahim untuk jawatan Naib Ketua.

6. Sekiranya beliau menentang Kamalia, soalnya adakah beliau akan menang mudah.

7. Tindakan beliau membuat kenyataan selepas mesyuarat Exco Wanita UMNO minggu lepas bahawa beliau masih melihat peralihan kuasa Wanita UMNO perlu diselaraskan dengan peralihan kuasa UMNO Induk, Pemuda dan Puteri, boleh memakan diri sekiranya beliau bertanding jawatan Naib Ketua Wanita.

8. Ini kerana, penyokong-penyokong Rafidah tentuanya tidak akan menyokong Sharizat untuk jawatan Naib Ketua atas sikapnya itu. Ini akan memberi kelebihan kepada Kamalia.

9. Sekiranya beliau kalah kepada Kamalia, maka beliau mungkin terus terpadam dalam arena politik Wanita UMNO.

9. Oleh itu, Sharizat mungkin akan meredah dan melawan Rafidah untuk jawatan Ketua Wanita. Sekiranya beliau kalah pun, beliau akan dipandang tinggi kerana kalah kepada seorang Iron Lady seperti Rafidah!

10. Apapun, jika penilaian yang dibuat Sharizat menunjukkan bahawa agak sukar untuk beliau menang jika menentang Rafidah, Sharizat mungkin akan mempertahankan jawatan Naib Ketua dengan syarat Rafidah memberi sokongan penuh kepada beliau.

11. Teringat bila Siti Zaharah menentang Rafidah!!!!

Published in: on November 13, 2008 at 11:06 pm Comments (3)

Apakah Rafidah Akan Berundur?

1. Hari ini (Isnin, 10 November 2008), Exco-exco Wanita UMNO akan bermesyuarat.

2. Pelbagai spekulasi dibuat samada Rafidah akan mempertahankan jawatan beliau atau tidak.

3. Mengikut pelan peralihan kuasa yang dipersetujui oleh Rafidah dan Naibnya Sharizat, tidak akan ada pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita. Rafidah akan meletakkan jawatan Ketua Wanita pada June 2009 dan Sharizat akan memangkunya sehinggalah pemilihanUMNO berikutnya.

4. Namun, mesyuarat Wanita Bahagian yang berakhir semalam menjunjukkan bahawa sekitar 60% Bahagian mencalonkan Rafidah untuk jawatan Ketua Wanita dan 40% lagi mencalonkan Sharizat.

5. Untuk pencalonan jawatan Naib Ketua pula, Sharizat mendahului pencalonan mengatasi Kamalia Ibrahim, seorang lagi calon untuk Naib Ketua Wanita.

6. Apakah peralihan kuasa pada Jun 2009 yang dipersetujui Radidah, Sharizat dan Exco-exco Wanita akan diteruskan?

7. Penulis berpendapat, Rafidah sebenarnya mengumumkan peralihan kuasa selepas Perhimpunan Agung UMNO kerana bimbang “orang-orang tertentu” terutamanya dari luar Wanita UMNO cuba untuk bertanding kedua-dua jawatan tertinggi dalam Wanita UMNO.

8. Selepas pencalon dari semua Bahagian berakhir, nampaknya hanya Rafidah dan Sharizat yang layak bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO. Untuk jawatan Naib Ketua Wanita pula, hanya Sharizat dan Kamalia Ibrahim yang layak.

9. Penulis tidak nampak bahawa Kamalia Ibrahim tergolong dalam kategori “orang-orang tertentu” diluar Wanita UMNO kerana beliau telah bersama menjadi Exco Wanita UMNO.

10. Selain itu, penulis melihat bahawa Rafidah cukup selesa untuk memastikan Sharizat menerajui Wanita UMNO selepas beliau berundur.

11. Memandangkan ancaman dari “orang-orang tertentu” diluar UMNO telah tiada, maka penulis melihat Rafidah mungkin tidak keberatan untuk melepaskan jawatan beliau kepada Sharizat Mac depan dan bukannya Jun.

12. Jika ini berlaku, Sharizat akan dinobatkan sebagai Ketua Wanita UMNO pada Mac ini.

13. Namun sebagai manusia, Rafidah tentunya mempunyai ego beliau sendiri. Ini adalah halangan utama untuk beliau menyerahkan jawatan kepada Sharizat pada pemilihan Mac ini.

14. Apapun, kita tengok samada lojik dan rasional Rafidah dapat mengatasi egonya hari ini!

Published in: on November 10, 2008 at 1:44 am Leave a Comment

[Pandangan] – Kenapa Pertengahan 2010 Pak Lah?

Sudah lama penulis tidak mencoret di blog ini. Penulis sebenarnya cuba memahami dan melihat scenario politik Malaysia yang tiada tolok banding dari segi kompleksitinya.

Selepas akuan bersumpah bekas penyiasat persedirian Razak Baginda, Balasubramaniam, esoknya akaun bersumpah itu ditarik balik, kemudian Anwar pula membawa kes laporan polis beliau ke Mahkamah Syariah, nampaknya sedikit sebanyak kita boleh terus membaca strategi politik Anwar.

Penulis tidak bercadang untuk menyambung penulisan mengenai strategi politik Anwar. InsyaAllah, jika berpeluang penulis akan menyambung tulisan berkaitan isu tersebut.

Apa yang penulis tertarik untuk mengulas ialah mengenai peralihan kuasa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Abdullah Badawi semalam. Menurut Abdullah, beliau akan menyerahkan kuasa kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib pada pertengahan 2010. Alasan yang diberikan oleh Pak Lah ialah beliau ingin menyelesaikan semua projek-projek yang telah dirancang. Beliau juga berkata, peralihan kuasa pada 2010 juga membolehkan Dato’ Seri Najib mempunyai cukup masa untuk menyaipkan parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

Kita tidah berhak mempersoalkan keikhlasan seseorang. Namun, dari sudut strategi politik, penulis melihat beberapa kesimpulan dan persoalan yang boleh dibuat dan timbul dari pengumuman peralihan kuasa oleh YAB Dato’ Seri Abdullah.

1) Ianya secara tidak langsung menunjukkan bahawa Pak Lah mengetahui dan menyedari bahawa ahli-ahli UMNO cukup marah dengan beliau. Jika sebelum ini Pak Lah selalu menyebut bahawa beliau mendapat sokongan padu banyak pihak, pengumuman semalam menunjukkan sebaliknya.

Ini kerana, sekiranya benar Pak Lah terus mendapat sokongan padu pelbagai pihak, mengapa beliau perlu berhenti separuh jalan? Mengapa beliau tidak terus memimpin UMNO dan BN dalam Pilihanraya Umum ke-13 (kebetulan ianya no kegemaran beliau!!!).

Mengapa beliau perlu bersusah payah menghabiskan sumber, tenaga dan kudrat mempertahankan kedudukan beliau sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan UMNO pada Disember ini jikalau ianya sekadar untuk 1 1/2 sahaja (iaitu dari Dis 2008 hingga Jun 2010).

2) Ianya juga menunjukkan bahawa Pak Lah sedar, sekiranya beliau terus memimpin UMNO dan BN dalam Pilihanraya Umum ke-13, ianya boleh mengkuburkan parti dalam pilihanraya tersebut. Ini kerana, secara lojiknya, selepas berhempas pulas mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan menyatakan bahawa beliau mendapat sokongan semua pihak, tiada sebab Pak Lah perlu meletakkan jawatan pada pertengahan 2010.

3) Pak Lah menyedari bahawa kedudukan beliau dalam pemilihan UMNO Disember ini tidak selamat. Pengumuman yang dibuat kurang seminggu dari tarikh mesyuarat cawangan juga mengukuhkan teori ini.

Apabila Pak Lah mengumumkan peralihan kuasa, secara tidak langsung Dato’ Seri Najib akan “terus” mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan Disember nanti. Sekiranya ini berlaku, maka Pak Lah akan selamat, kerana Najiblah saingan paling dekat beliau.

Najib dalam hal ini telah “checkmatekan” oleh Pak Lah. Ini terbukti didalam sidang akhbar sewaktu pengumuman peralihan kuasa dibuat, beliau menyeru agar bahagian-bahagian mencalonkan Pak Lah ke jawatan Presiden dan beliau akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden.

4) Persoalannya, adakah bahagian-bahagian UMNO akan menerima “nasihat” Najib agar mencalonkan Pak Lah. Ingatkah kita sejarah pertandingan Anwar dan Ghafar untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO!

Secara peribadi, penulis melihat bahawa akan terdapat satu tsunami di peringkat bahagian untuk mencalonkan Najib sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden. Tsunami ini tidak akan dapat dikekang oleh pengumuman peralihan kuasa pada 2010.

Jika ianya rezeki Najib dan Muhyiddin, InsyaAllah gandingan Pahang-Johor seperti dizaman Allahyarham Tun Razak akan menjadi kenyataan pada Disember ini.

Published in: on July 11, 2008 at 2:01 pm Leave a Comment

[Pandangan] – Anwar dan Strategi Politiknya

Akhbar melaporkan semalam bahawa seorang pembantu Anwar Ibrahim membuat laporan polis menyatakan bahawa beliau telah diliwat oleh majikannya itu [Lihat Disini][Lihat Disini].

Selepas laporan tersebut dibuat pada pukul 5:45petang hari Sabtu, satu sidang akhbar diadakan di Quality Hotel, Shah Alam pada awal pagi Ahad [Lihat Disini].

Didalam kenyataan akhbar tersebut, Anwar menyatakan bahawa:

“Laporan palsu ini dirancang oleh pihak-pihak berkepentingan untuk menyerang saya sebagai satu serangan balas terhadap bukti yang saya perolehi mengaitkan Ketua Polis Negara Musa Hasan dan Peguam Negara Gani Patail dengan perbuatan salah laku, termasuk usaha pemalsuan bukti-bukti kes yang melibatkan saya pada tahun 1998-99. Serangan jahat ini tidak akan menghalang saya dari mendedahkan bukti-bukti tersebut kepada awam.”

Penulis tidak berminat untuk membincangkan laporan polis yang dibuat oleh pembantunya. Samada perkara tersebut benar-benar belaku atau tidak, tiada siapa pun mengetahuinya, kecuali Allah SWT. Selain itu, pembantu Anwar yang membuat laporan polis dan Anwar sendiri tahu perkara sebenar. Tiada siapa mengetahui kebenaran laporan polis tersebut, termasuklah isteri beliau, Wan Azizah.

Apa yang penulis tertarik ialah strategi yang Anwar gunakan untuk menangani krisis ini. Apabila tersebar berita pembantunya membuat laporan polis bahawa beliau telah diliwat Anwar, strategi pertama ialah memanggil sidang media di pagi-pagi hari ketika masyarakat sedang nenyak tidur.

Strategi kedua, Anwar tidak hadir dalam sidang media tersebut. Ini mungkin cuba menggambarkan bahawa keadaan agak genting dan beliau terlalu sibuk.

Strategi ini diteruskan dengan mendakwa bahawa adanya ancaman bunuh terhadap beliau. Ini menyebabkan beliau mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki. Mungkin benar dakwaan beliau, namun setakat ini tiada bukti yang dikemukakan.

Pemilihan kedutaan Turki juga adalah suatu strategi yang tersusun. Dalam banyak-banyak kedutaan, mengapa kedutaan Turki yang dipilih. Alasan yang diberikan bahawa Duta Turki menawarkan perlindungan kepada beliau menimbulkan tanda-tanya! [Lihat Disini] [Lihat Disini].

Begitulah strategi yang digunakan kali ini. Dari kisah seorang pembantunya membuat laporan polis bahawa beliau telah diliwat Anwar, kini ianya menjadi kisah Anwar menerima ancaman bunuh. Dari seorang yang dituduh, sekarang beliau telah berjaya menjelmakan dirinya sebagai hero! Tidakkah hebat strategi ini.

Strategi ini perlu diteruskan bagi meneggelamkan isu pokoknya. Nanti pelbagai isu baru akan timbul. Inilah yang dikatakan mematahkan serangan dengan serangan. Bukannya mematahkan serangan dengan bertahan.

Ianya juga menunjukkan bagaimana sesuatu krisis itu boleh ditukarkan menjadi peluang yang amat berguna.

Betul atau tidak isu pokoknya, bukanlah hak kita untuk menghakiminya. Tetapi, cara dan strategi menguruskan krisis ini patut dipelajari oleh kita semua.

Mungkin ianya boleh digunakan menghadapi pelbagai dugaan ditempat kerja dan didalam masyarakat! Sekurang-kurangnya ianya dapat memberi ruang untuk anda bernafas dan memikirkan strategi terbaru yang lebih ampuh!

Isteri Anwar, Wan Azizah telah mendakwa bahawa ada konspirasi pihak-pihak tertentu untuk melumpuhkan karier politik beliau. Menurut Azizah lagi, ini terbukti dengan adanya gambar-gambar pembantu Anwar dengan Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri (yang menjaga hal ehwal pengajian tinggi) yang diambil berlatarbelakangkan Pejabat Perdana Menteri? [Lihat Disini][Lihat Disini]. [Nota: Menurut sumber-sumber, Pembantu Anwar tersebut, Saiful Bukhari Azlan adalah bekas pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNITEN. Di Malaysia, wakil-wakil MPP sering melakukan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin negara. Budak-budak ni biasalah, seronok dapat bergambar dengan orang-orang besar! Tambahan pula dapat melawat Pejabat Timbalan Perdana Menteri! Pegawai Khas Dato' Seri Najib didalam gambar tersebut dikatakan menjaga Hal Ehwal Pengajian Tinggi].

Jika kita menggunakan lojik yang sama yang digunakan Azizah, maka sekiranya ada gambar Raja Petra dan Najib, adakah ini menunjukkan Raja Petra berkonspirasi dengan Najib untuk menuduh Najib sendiri. Tentulah tidak masuk akal.

Bagaimanakah pula gambar Anwar dengan Wolfowitz dan Anwar dengan Pak Lah?

Tiada siapa mengetahui ceria sebenar disebalik laporan polis tersebut, kecuali Allah SWT dan mereka yang terlibat. Janganlah kita pandai-pandai menentukan siapa yang betul dan siapa yang salah!

Apa yang lebih penting, elakkan diri kita dari diperbodohkan oleh sesiapa dalam permainan politik yang penuh dengan taktik dan strategi!

 Nota:

i) Sudah lupakah kita kisah semasa beliau didalam penjara dimana beliau dikatakan telah diberikan racun arsenik dan disuntik virus HIV?

ii) Dalam politik tiada apa yang mustahil. Apa sahaja boleh dilakukan untuk mencapai cita-cita politik masing-masing. Jangan terkejut sekiranya perkara yang dilihat negatif pada awalnya akan memberikan kesan positif dan keuntungan berlipat kali ganda!

 

Published in: on June 30, 2008 at 12:26 am Comments (1)

[Pemilihan Parti] – Presiden MCA Tidak Akan Pertahankan Jawatan. Presiden UMNO???

Akhbar hari ini menyiarkan berita mengenai keputusan Datuk Seri Ong Ka Ting bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Presiden MCA dalam pemilihan parti tersebut [Lihat Disini] [Lihat Disini] [Lihat Disini]. Sebelum ini Ong Ka Ting mengambil keputusan untuk menolak jawatan Menteri bagi menumpukan kepada usaha mengukuhkan MCA. 

Menurut Ong Ka Ting seperti yang dipetik Utusan:

“Saya telah memutuskan tidak akan bertanding semula bagi mempertahankan jawatan presiden parti. Keputusan yang telah saya fikirkan dengan masak selepas mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan dalam parti dalam tempoh tiga bulan lepas.

“Ini bukan keputusan tergesa-gesa tetapi telah saya timbangkan lama dan selepas perundingan dalam masa yang panjang,”.

Malaysiakini pula memetik Ong berkata “Parti adalah milik ahli-ahlinya dan bukan individu tertentu,”. Kenyataan ini tidak disiarkan didalam Bernama dan Utusan yang memetiknya dari Bernama. Mungkin agak pedas bunyinya!

Itu Presiden MCA. Bagi Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau tetap dengan pendirian bahawa beliau akan bertanding mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan UMNO Disember ini.

Jika dilihat dari segi tekanan, Ong Ka Ting tidaklah ditekan oleh ahli-ahli MCA agar melepaskan jawatan sehebat tekanan ahli-ahli UMNO terhadap Abdullah.

Sebaliknya, Abdullah walaupun ditekan hebat, ingin terus mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Ong Ka Ting akan turun dengan bermaruah dan akan diigat oleh ahli-ahli MCA sebagai seorang Presiden yang tidak mementingkan jawatan sebaliknya mementingkan masadepan MCA dan kerelevenan MCA dikalangan masyarakat Cina di Malaysia.

Timbalan Presiden MCA, Dato’ Seri Chan Kong Choy juga dikatakan tidak akan mempertahankan jawatan beliau. Ini bukanlah satu kejutan kerana Kong Choy juga telah menolak untuk dicalonkan bertanding bagi kerusi Parlimen dalam pilihanraya yang lalu.

Sekiranya Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah bersikap seperti Ong Ka Ting, nescaya UMNO akan dapat diremajakan secepat mungkin dan ahli-ahli dapat bersatu dan bertaut semula.

Kenapa Abdullah tidak berbuat demikian? Wallahuaklam…

 

Published in: on June 29, 2008 at 1:09 am Comments (2)

[Pemilihan Parti] – Gandingan Najib-Muhyiddin Bakal Jadi Kenyataan

Pemilihan UMNO diperingkat cawangan akan bermula dalam beberapa minggu lagi. Ini akan diikuti dengan pemilihan diperingkat cawangan pada Oktober ini. Seterusnya, pemilihan semasa Perhimpunan Agung UMNO Disember ini.

Kehangatan pemilihan peringkat bahagian sudah mula dirasai. Kenyataan YAB Dato Seri Najib, Timbalan Presiden UMNO bahawa beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan UMNO Disember ini ternyata menghangatkan lagi keadaan [Lihat Disini] dan [Lihat Disini]. Menurut beliau seperti yang dipetik bernama “Saya akan buat ketetapan apabila sampai masanya, ada masa lagi,”.

Inilah kali pertama Najib tidak menolak kemungkinan untuk bertanding jawatan Presiden jika mendapat sokongan akar umbi. Sebelum ini, beliau menyatakan pendiriannya yang memilih peralihan kuasa secara teratur. Mungkin diwaktu itu dirasakannya bahawa Pak Lah akan meletakkan jawatan sebelum pemilihan UMNO.

Dengan kenyataan Najib tersebut, maka nampaknya gendang perang sudah dipalu! Sekiranya dilihat sokongan diperingkat bahagian, sokongan terhadap Dato’ Seri Najib adalah dijangkakan jauh lebih tinggi berbanding dengan sokongan terhadap Dato’ Seri Abdullah.

Jika dibaca tulisan penulis semalam mengenai dengan drama bersiri mengenai tuduhan-tuduhan Raja Petra terhadap Najib dan Rosmah, mungkinkah tuduhan-tuduhan tersebut berkait rapat dengan sokongan padu dari akar umbi UMNO agar Najib menentang Pak Lah bagi jawatan Presiden UMNO?

Maka untuk melunturkan sokongan terhadap Najib, mungkinkah pelbagai usaha dilakukan musuhnya untuk memburukkan Najib. Dengan menjatuhkan kredibiliti Najib, maka musuh-musuh beliau berharap akan umbi tidak akan memberi sokongan kepada Najib.

Kenapakah musuh-musuh beliau tidak mahu Najib bertanding menentang Abdullah bagi jawatan Presiden UMNO? Tentulah banyak sebabnya. Musuh yang berlainan mempunyai niat dan motif yang berlainan. Pelbagai kemungkinan wujud.

Tentulah musuh-musuh Najib diluar UMNO sedar bahawa ramai diakar umbi UMNO dan juga rakyat Malaysia keseluruhannya inginkan Pak Lah berundur. Tetapi, keadaan sebelum ini menunjukkan bahawa Pak Lah tidak akan berundur dan Najib juga tidak akan menentang Pak Lah. Sekiranya Najib tidak menentang Pak Lah, maka tentunya Pak Lah akan kekal sebagai Presiden UMNO selepas pemilihan parti nanti.

Selain dari itu, munkinkah musuh-musuh Najib cuba menunjukkan kepada umum bahawa sekiranya terdapat undi tidak percaya terhadap Pak Lah dan beliau turun dari jawatan Perdana Menteri, maka calon terbaik menggantikan beliau adalah Najib.

Maka, munkinkah untuk memastikan bahawa rakyat secara umum dan Ahli-ahli Parlimen BN amnya meragui integriti Najib dan tidak melihat Najib sebagai calon terbaik menggantikan Abdullah, maka kredibiliti Najib mesti digugat. 

Musuh-musuh Najib mungkin menyedari bahawa beliau tentunya telah belajar dari sejarah bahawa Timbalan perlulah sentiasa setia dengan Presidennya, dan Najib  tidak akan menyatakan secara terbuka bahawa beliau akan menentang Pak Lah semasa pemilihan UMNO nanti.

Jika ini berlaku, maka ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional akan melihat bahawa Pak Lah mungkin tidak akan turun dari kerusi Perdana Menteri. Bagi mereka, ini boleh menggelapkan masadepan BN. Jadi, ini akan mendorong mereka untuk menerima tawaran pembangkang agar mereka meninggalkan BN dan menyertai pembangkang.

Itu adalah kisah musuh diluar selimut! Bagaimana pula musuh didalam selimut! Bab ini penulis tinggalkan kepada pembaca untuk menilainya.

Najib sedar tindakan memburukkan beliau adalah taktik licik musuh-musuhnya. Maka dengan selambanya semalam Najib berkata beliau belum membuat keputusan samada akan bertanding jawatan Presiden UMNO atau tidak.

Wow! ini mengejutkan musuh-musuh Najib. Sekiranya Najib menentang Pak Lah, maka gandingan terbaik Najib adalah Muhyiddin Yassin. Ini akan memenuhi hasrat akar umbi semasa perjumpaan Jawatankuasa Pengurusan UMNO di dua negeri yang jatuh kepada pembangkang, Kedah dan Selangor, yang ingin melihat Pak Lah UMNO dipimpin oleh gandingan Najib dan Muhyiddin.

Jika ini berlaku, gandingan Pahang-Johor sebagai Perdana Menteri-Timbalan Perdana Menteri akan wujud kembali. Gandingan ini wujud pada tahun 1970-1976 sewaktu ayahanda kepada Dato’ Seri Najib, Tun Abd Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia dimana Timbalan beliau diwaktu itu ialah Tun Dr Ismail Abd Rahman (1970 – 1973) dan Tun Hussein Onn (1973 – 1976).

Kita tunggu…..

 

Published in: on June 27, 2008 at 12:37 am Leave a Comment

[Pandangan] – Pak Lah, Najib dan Khairy Nafikan Tuduhan RPK

Dalam tulisan sebelum ini, penulis ada mengulas mengenai akuan bersumpah Raja Petra mengenai pembunuhan Altantunya.

Akhbar semalam menyiarkan penafian YAB Dato’ Seri Abdullah terhadap tuduhan Raja Petra Kamaruddin bahawa beliau ada menerima laporan perisikan tentera mengenai mereka yang terlibat dalam pembunuhan Altantunya (RPK mendakwa bahawa dalam laporan tersebut, dikatakan isteri TPM, Datin Seri Rosmah Mansor terlibat) [Lihat Disini].

Akbar hari ini pula menyiarkan kenyataan YAB Dato’ Seri Najib bahawa akuan bersumpah Raja Petra adalah satu penipuan untuk mencemarkan imej beliau [Lihat Disini].

Naib Ketua Pemuda UMNO, yang juga menantu YAB Dato Seri Abdullah, Khairy Jamaluddin berkata seperti yang dipetik Utusan ”Saya juga tidak terima apa- apa laporan lain dalam kes Altantuya ini dan saya tidak simpan, tidak terima dan tidak tahu menahu langsung tentang laporan yang dikatakan,” [Lihat Disini].

Secara lojiknya, apabila YAB Dato’ Seri Abdullah dan Khairy Jamaluddin yang dikatakan menerima laporan perisikan tentera tersebut menafikannya, maka secara ianya bermakna laporan tersebut tidak wujud. Namun mesti ramai akan bertanya….tapi…tapi…”betul ke penafian Pak Lah dengan KJ tu?”. “Dulu pun masa nak bubar Parlimen, bila ditanya sehari sebelumnya, Pak Lah kata tak bubar esok, tengok-tengok esoknya Parlimen dibubar”. Ada pula yang kata, “Dulu kata Pak Lah kata cerita dia nak kahwin hanya khabar angin, tapi lepas tu kahwin betul”.

Aduh! susah juga bila rakyat dah mula mempersoalkan kebenaran kenyataan YAB Perdana Menteri. Sekiranya terus begini, maknanya tuduhan Raja Petra terhadap YAB Dato’ Seri Najib akan terus mengelirukan rakyat.

Balik kepada akuan bersumpah Raja Petra. Jika dilihat strategi Raja Petra dalam tuduhan-tuduhan beliau sebelum ini,  Raja Petra akan mengeluarkan apa sahaja dakwaan atau cerita-cerita. Kemudian, beliau akan biarkan mereka yang dituduh didalam penulisannya membuat penafian jika perkara tersebut tidak benar.

Jadi dalam hal ini, mereka yang dididakwa mengetahui mengenai penglibatan orang-orang tertentu didalam pembunuhan Altantunya, YAB Dato Seri Abdullah dan Khairy Jamaludin telah menafikannya. Namun, mereka yang didakwa terlibat, iaitu Datin Seri Rosmah, Kol Abd Aziz dan isteri beliau setakat ini belum membuat sebarang penafian rasmi. Selepas mereka-mereka ini membuat penafian, maka kredibiliti akuan bersumpah Raja Petra akan dipersoalkan.

Tapi…tapi….siasatan keatas pendakwa iaitu Raja Petra sendiri masih belum dibuat. Adakah si Raja Petra mempunyai bukti-bukti untuk menyokong tuduhan beliau. Sekiranya tiada, maka ramai yang akan mempersoalkan kenapa Raja Petra membuat tuduhan tersebut.

Aduh, makin kompleks kisah ini. Penulis percaya, hal ini tidak akan berakhir disini. Masih ada lagi sambungan-sambungannya. Macamlah cerita bersiri yang selalu disiarkan di TV.

Ini adalah siri kedua “Raja Petra Menuduh Najib”. Dalam siri pertama lalu, Raja Petra menulis satu artikel berkaitan dengan pembunuhan Altantunya dan mengaitkannya dengan Najib. Dalam siri tersebut, SU akhbar Najib telah memberi respon kepada artikel tersebut. Kes tersebut sekarang menjadi kes Mahkamah. Penulis ada memberi sedikit komen mengenai siri pertama tersebut disini.

Siri kedua adalah mengenai akuan bersumpah. Siri ini hampir selesai dengan penafian oleh pihak-pihak yang terlibat. Kita tengok apa pula jalan cerita di siri ketiga nanti!

Dalam mengagak-agak jalan ceritanya, maka pembaca-pembaca sekelian perlu mengenali dengan lebih dekat pelakon-pelakonnya dan watak yang dipegang masing-masing!

Namun, disebalik semua pelakon-pelakon, jangan lupa, bahawa jalan cerita tersebut ditulis oleh penulis skrip. Jangan lupa juga bahawa Pengarah filem tersebut juga memainkan peranan penting dalam mengatur jalan cerita. Pengarah filem tersebut adalah bertanggungjawam untuk mengolah jalan cerita bersesuaian dengan skrip supaya dapat menarik minat penonton dan menjadi filem box-office!

Siapa penulis skrip dan pengarah drama “Raja Petra Menuduh Najib”? Fikirkan!

Pehhhhh…pening tengok dram politik Malaysia. Kalah cerita Hindustan!

Published in: on June 26, 2008 at 3:40 am Comments (1)