BN - Perancangan Untuk Pilihanraya Akan Datang Perlu Dimulakan Dari Sekarang

Sebulan sudah Pilihanraya Umum ke-12 berlalu. Dengan kemenangan terbesar dalam sejarah negara, parti pembangkang telah mengorak langkah mengukuhkan kedudukan mereka dengan menubuhkan Pakatan Rakyat. Kesemua 5 negeri yang telah dikuasai pembangkang telah memulakan langkah masing-masing.

Kejayaan semasa pilihanraya lalu memberikan satu suntikan semangat kepada pembangkang. Menteri Besar dan Exco-exco di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang telah memulakan tugas masing-masing. Ahli-ahli Parlimen pembangkang juga bersemangat menantikan hari pertama mereka beraksi di Parlimen.

Dalam kegimbiraan pembangkang, Barisan Nasional yang di tunjangi UMNO masih lagi berduka. BN dilihat masih belum sihat sepenuhnya selepas dilanggar didalam pilihanraya lalu. Parti komponen utamanya UMNO masih lagi dalam keadaan separuh sedar. Belum dapat berjalan dengan baik dan fikirannya masih bercelaru. Pemilihan parti akan diadakan pada pertengahan bulan Disember 2008. Dari hari ini sehingga bulan Disember, bermacam-macam perkara boleh berlaku. Sehinggalah selepas pemilihan parti, barulah parti

Begitu jugalah MCA. Walaupun MCA cedera teruk dalam pilihanraya lalu, nampaknya parti ini sembuh lebih cepat berbanding UMNO. Tidak dinafikan masih ada luka disana-sini, tapi secara umumnya, ia sudah boleh berjalan dengan betul. Ada sebahagian dari pemimpin MCA meminta Presiden MCA Dato’ Seri Ong Ka Ting meletakkan jawatan. Bahkan ada pimpinan MCA yang menyatakan bahawa sekiranya Dato’ Seri Ong tidak meletakkan jawatan, MCA akan “tiada ong” dan 30% ahli akan meninggalkan parti. MCA juga akan menjalankan pemilihan parti pada suku terakhir tahun ini. Jika kecelaruan dalam MCA berterusan, nampaknya pemimpin parti akan banyak menghabiskan masa berpolitik untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

MIC pula masih trauma. Kepalanya cedera parah terhentak apabila kalah di Sungai Siput. Apabila kepala sudah sakit, maka badan pun tidak dapat berfungsi dengan baik. Jalannya masih tidak lurus. Kepala MIC, Dato’ Seri Samy Vellu cuba menunjukkan keprihatinan MIC kepada kaum India dengan meminta agar pemimpin Hindraf yang ditahan dibawah ISA dilepaskan. Kalau diikutkan permintaan Dato’ Seri Samy, maka MCA juga akan meminta semua kaum Cina yang ditahan di ISA juga dilepaskan. Begitu jugalah UMNO. Mungkin Dato’ Seri Samy boleh cari idea lain untuk menonjolkan dan mempopularkan MIC.

Gerakan pimpinan Tan Sri Koh Tsu Koon juga masih tersentak dengan kekalahan lalu. Dari sentakan inilah maka keluar idea bahawa BN perlu dijadikan satu parti untuk semua kaum tanpa perlu mempunyai parti-parti komponen. Cakap bunyinya macam senang. Tetapi realitinya tidak sesenang itu. Isu ini akan dibincangkan dalam tulisan akan datang.

PPP pimpinan Dato’ M Kayveas ranap. Parti ini hidup dengan isu-isu berkaitan dengan pembahagian kerusi sebelum pilihanraya. Selepas dapat kerusinya di Taiping, Kayveas kalah. Sekarang PPP tidak mempunyai sebarang kerusi Parlimen. Inilah yang dikatakan “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.

Tidak seperti rakan-rakan mereka di Semenanjung, parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak nampak masih utuk. Cuma ada sedikit ketidakpuasan hati tentang jumlah pemimpin mereka dalam kabinet persekutuan.

Jika dilihat kepada trend ini, dan jika tiada satu perubahan drastik dibuat, BN terutamanya UMNO mungkin akan terus terkapai-kapai dalam tempoh setahun akan datang. Jika ini berlaku, BN akan kesuntukan masa untuk melaksanakan pelbagai program yang akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti.

Sepatutnya, selepas sahaja keputusan pilihanraya diketahui, post-mortem perlu dibuat segera, perubahan perlu dilakukan walaupun pahit dan kepimpinan perlu disusun dan mendapat kepercayaan semua pihak. Sebaliknya, ada beberapa pihak yang mengambil mudah keadaan parti dan masih mementingkan kepentingan peribadi melebihi perjuangan.

 

 

Published in: on April 10, 2008 at 6:35 am Comments (3)