Dari Berita Harian23 Mac 2008
Istana lantik Ahmad
Oleh Shaarani Ismail dan Hanneeyzah Bariah Baharin
22 Adun BN Terengganu pulau majlis angkat sumpah MBKUALA TERENGGANU: Pejabat Sultan Terengganu semalam mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai Menteri Besar baru walaupun 22 Adun Barisan Nasional (BN) di negeri ini sebulat suara mahukan Datuk Seri Idris Jusoh dilantik semula.
Berikutan itu, semua 22 Adun yang mengadakan mesyuarat khas di sini semalam, berikrar memulaukan majlis angkat sumpah Ahmad, sebagai Menteri Besar yang dijadualkan di Istana Tamu, pagi ini. Malah, mereka turut menegaskan akan meletak jawatan jika Idris tidak dilantik semula untuk jawatan itu.
Ahmad, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri. Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan Adun Jertih, menjadi Menteri Besar sejak 2004.
Kenyataan pejabat Sultan Terengganu kepada Bernama semalam menyebut:
“Mengikut peruntukan Fasal 14 Perenggan (2) (a) Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab 2), Majlis Penasihat Pemangku Raja dalam melaksanakan fungsi bagi pihak Pemangku Raja. Dengan ini telah memilih untuk melantik Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.”
Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu berlarutan selama 14 hari selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Selasa lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kenyataannya mengenai isu itu berkata, dalam urusan pelantikan Menteri Besar Terengganu, tidak timbul isu perebutan antara Pemangku Raja, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) atau kerajaan negeri.
“Pelantikan Menteri Besar adalah proses yang ditentukan undang-undang sebagai mana termaktub dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Mana-mana orang yang dilantik sebagai Menteri Besar bukanlah calon Pemangku Raja atau MPPR atau sesiapa juga, tetapi seseorang yang dilantik menurut Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.
“Dalam soal pemilihan Menteri Besar Terengganu, Pemangku Raja dan MPPR adalah terikat kepada undang-Undang itu dan sesiapa juga daripada Adun yang pada fikiran Pemangku Raja dan MPPR mendapat kepercayaan kebanyakan Adun itu hendaklah dilantik,” katanya.
Abdul Gani juga berkata, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga Sultan Terengganu tidak mempunyai calon baginda sendiri bagi jawatan Menteri Besar kerana baginda menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya kepada Pemangku Raja dan MPPR.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid pada sidang media selepas mesyuarat khas itu, berkata semua wakil rakyat BN yang menang pada pilihan raya umum lalu sebulat suara menyatakan sokongan penuh kepada Idris dan tidak rela pentadbiran negeri diterajui pemimpin lain.
“Jadi, mana-mana perancangan untuk menamakan selain daripada calon yang kami nyatakan tadi, kami tidak akan menerimanya dan tetap menolak sebulat suara,” katanya.
Kecuali Ahmad dan Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman, semua Adun BN termasuk Idris hadir pada mesyuarat khas itu. Bagaimanapun, Ahmad Razif turut menyatakan sokongan dan menandatangani surat ikrar menyokong Idris dan membantah pelantikan Ahmad.
Idris pula, walaupun hadir pada mesyuarat yang diadakan di Kediaman Seri Iman itu, tidak memberikan sebarang kenyataan.
Rosol berkata, mesyuarat berkenaan diadakan bertujuan memperkasa parti selain memastikan hasrat pemimpin parti itu dihormati selepas semua mereka memenangi pilihan raya umum lalu atas sokongan padu rakyat.
Pada mesyuarat itu, semua yang hadir sekali lagi menandatangani surat sokongan pelantikan Idris sebagai Menteri Besar untuk diserahkan kepada MPPR pagi ini. Ia adalah susulan tiga surat yang sudah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
Ditanya apakah tindakan memulaukan majlis angkat sumpah itu dilihat sebagai menderhaka kepada Istana, Rosol yang juga Adun Ajil berkata:
“Kami tidak merasakan ia satu tindakan menderhaka kerana ia dibuat sebagai tanda penghargaan dan hormat kepada pemimpin parti selain mewakili suara rakyat yang mahukan kepimpinan yang sudah dipilih mereka.
“Kami juga sependapat, jika diteruskan juga apa yang dinyatakan itu, mungkin akan berlaku tindakan disiplin…Ia terserah kepada presiden parti. Mungkin juga akan berlaku undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri kerana kami sebulat suara dengan keputusan ini,” katanya.
Beliau menegaskan, keputusan memboikot majlis angkat sumpah itu dibuat sebulat suara tanpa sebarang paksaan atau bayaran.
“Ia pengakuan setulus hati kami demi rakyat. Kami sampaikan suara rakyat bagi memastikan perkara ini (pelantikan Menteri Besar) tidak dibuat sebegini rupa kerana akan memberi kesan dan suasana tidak selesa kepada rakyat Terengganu yang sudah memilih kami sebagai wakil rakyat.
“Keputusan kami patut dihormati. Kami mewakili rakyat yang sudah mengundi kami, yang bertungkus lumus selama 30 hari untuk memastikan kami menang,” katanya.
Di KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno dan BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Ahmad boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana mengingkari ketetapan Abdullah selaku Presiden Umno merangkap Pengerusi BN sebelum ini, yang bersetuju dengan pelantikan Idris sebagai Menteri Besar.
“Presiden Umno sudah menetapkan Idris sebagai Menteri Besar. Tidak timbul nama lain. Ahmad Said kena ikut arahan Presiden yang sudah memberi tauliah kerana Idris. Kenapa orang lain nak cuba lobi kerana BN sudah tentukan Idris sebagai Menteri Besar.
“Kalau Ahmad Said meneruskan juga untuk upacara mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, beliau boleh dikenakan tindakan tata tertib kerana tidak akur dengan arahan Presiden,” katanya.
……………………………………………………………..
Kisah perlantikan MB Terengganu menjadi semakin bercelaru. Pilihan pihak istana tidak dipersetujui oleh ADUN-ADUN BN. Tindakan mereka yang ingin memulaukan perlantikan MB belum tentu dapat menyelesaikan masalah.
Mengapa perkara sebegini terjadi? Beberapa persoalan timbul:
i) Kenapa YB Datuk Seri Idris Jusuh bukan menjadi pilihan oleh pihak istana Terengganu. Mungkin ada sebab-sebab tertentu yang tidak didedahkan kepada rakyat?
ii) Mengapa YB Datuk Ahmad Said tidak mendapat sokongan ADUN-ADUN BN. Mungkin ada sebab-sebab tertentu yang tidak diketahui umum?
iii) Adakah tidak ada seorangpun dalam kesemua 23 ADUN BN yang boleh diterima oleh pihak istana dan ADUN-ADUN BN?
iv) Mengapa ADUN-ADUN BN begitu mempertahankan YB Datuk Seri Idris Jusoh?
vi) Dato’ Ahmad Said menghadapi kemungkinan dipecat dari UMNO kerana mengingkari keputusan pucuk pimpinan dan ADUN-ADUN lain menyokong Dato Seri Idris Jusoh kerana beliau mendapat mandat dari pucuk pimpinan. Jika keadaan menunjukkan seolah-olah tiada kesudahan, mungkin pucuk pimpinan boleh mempertimbangkan calon lain yang boleh diterima semua pihak. Sekiranya pucuk pimpinan membuat pilihan, semua ADUN BN sepatutnya menerima calon tersebut.
v) Adakah kemenangan BN di Terengganu membuktikan sokongan rakyat kepada YB Datuk Idris Jusuh atau sokongan rakyat kepada BN?
-
Sekiranya sokongan tersebut ialah sokongan rakyat kepada BN, maka apakah ianya satu masalah besar sekiranya mana-mana calon BN dipilih menjadi MB?
-
Sokongan kepada YB Datuk Idris Jusoh dan sokongan kepada BN perlulah dibezakan.
Sekiranya soalan-soalan ini dapat dijawab, maka rakyat dapat menilai yang mana intan dan yang mana kaca.