1. Didalam penulisan sebelum ini bertajuk “Mesyuarat Bahagian Yang Merisaukan Pak Lah!”, penulis ada menulis:
“7. Nampaknya sekiranya akan berlaku perubahan yang besar kepada pucuk pimpinan UMNO, ianya boleh berlaku seawal-awalnya sebelum mesyuarat bahagian yang bermula pada 9 Oktober 2008.”
2. Jika dilihat perkembangan mutakhir ini, nampaknya sokongan UMNO di peringkat bahagian kepada Pak Lah agak rapuh. Penulis pernah menyatakan sebelum ini bahawa “Tentulah Pak Lah tidak ingin mencipta sejarah menjadi satu-satunya Presiden UMNO yang kalah semasa pemilihan parti atau tidak cukup pencalonan untuk jawatan Presiden!”.
3. Pengumuman bahawa Najib membatalkan lawatan kerjanya ke New York untuk menghadiri UN General Assembly antara 25 September-1 Oktober, menunjukkan seolah-olah sesuatu yang penting akan berlaku.
4. Ini terbukti apabila satu Mesyuarat Khas MT UMNO diadakan padi tadi. Sekiranya dilihat keputusan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO sebentar tadi, terdapat 3 maklumat penting:
a) Perhimpunan Agung UMNO ditangguhkan hingga ke Mac 2009.
b) Pemilihan peringkat Bahagian akan diteruskan bermula 9 Oktober.
c) Abdullah akan tentukan samada beliau bertanding untuk jawatan Presiden UMNO atau tidak selewat-lewatnya 9 Oktober.
3. Jika dilihat kepada keputusan tersebut, pelabagai andaian boleh dibuat, bergantung kepada dari sudut mana ianya dinilai.
4. Mengapa MT UMNO bersetuju agar Perhimpunan Agung UMNO dan Pemilihan UMNO ditangguhkan sehingga ke bulan Mac sedangkan mesyuarat bahagian diteruskan pada 9 Oktober ini?
5. Bukankah itu akan menyebabkan tempoh berkempen bagi jawatan tertinggi parti agak panjang? (iaitu dari Oktober hingga Mac?).
6. Mengapa tidak ditangguhkan juga pemilihan bahagian?
7. Jika diteliti, ianya boleh dilihat dari dua sudut.
8. Pertama, ianya mungkin satu penyelesaian jalan tengah mempercepatkan peralihan kuasa yang telah dipersetujui oleh Pak Lah dan Najib dan diterima oleh ahli-ahli MT.
8. Jika dilihat dari sudut ini, Pemilihan UMNO ditangguhkan sehingga ke Mac 2009 adalah mungkin untuk memberi ruang kepada Pak Lah menyelesaikan apa yang patut diselesaikan sebelum mengundur dengan cara terhormat pada Mac 2009.
9. Ini kerana mengikut pelan awal, beliau akan menyerahkan teraju negara kepada Najib pada pertengahan 2010. Namun, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan bahawa akar umbi tidak gembira dengan pelan peralihan tersebut dan Najib membuat kenyataan bahawa beliau menyerahkan kepada akar umbi, maka dari saat itu, lanskap politik UMNO bertukar.
10. Selepas mendapati sokongan UMNO bahagian terhadap beliau amat rapuh, jadi Abdullah mungkin telah mengambil keputusan untuk berundur secara tehormat.
11. Namun, untuk meninggalkan kerusi Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada Disember ini (iaitu 3 bulan dari sekarang) ianya mungkin terlalu singkat bagi Abdullah.
11. Tiba-tiba sahaja dari pertengahan 2010 ke Disember 2008! Maka, mungkin MT telah memperhalusi keadaan ini dan bersetuju agar Pak Lah diberikan sedikit ruang untuk menyelesaikan apa yang perlu beliau selesaikan dan memberi peluang untuk beliau berundur secara tehormat pada Mac 2009. Mungkin atas dasar inilah Majlis Tertinggi bersetuju menangguhkan pemilihan parti.
12. Penulis melihat bahawa keputusan untuk meneruskan Pemilihan UMNO di peringkat bahagian pada 9 Oktober ini adalah satu jalan tengah dan juga satu strategi perlindungan sekiranya Pak Lah didesak oleh penyokong-penyokong beliau agar mempertahankan jawatan sebagai Presiden UMNO.
13. Ini kerana, sekiranya pemilihan bahagian ditangguhkan juga, peynyokong-penyokong Abdullah akan berusaha untuk memastikan bahawa momentum diperingkat bahagian yang ingin melihat terdapatnya perubahan pada pucuk pimpinan akan secara perlahan-lahan akan hilang.
14. Sebaliknya, sekiranya pemilihan bahagian diteruskan, maka momentum yang ada diperingkat bahagian untuk melihat perubahan kepada pucuk pimpinan akan berterusan sehinggalah berakhirnya mesyuarat bahagian November ini.
15. Sekiranya sebelum 9 Oktober ini Pak Lah membuat keputusan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO, maka momentum yang ada akan diterjemahkan dengan mencalonkan Najib untuk jawatan Presiden dan Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden.
16. Inilah yang ditakuti Pak Lah. Sekiranyanya ini berlaku, ada kemungkinan beliau tidak akan mendapat pencalonan yang cukup.
17. Oleh itu, dari satu sudut, penangguhan Pemilihan UMNO sehingga Mac 2009 dan penerusan Mesyuarat Bahagian pada 9 Oktober boleh dilihat secara positif.
18. Namun, dari sudut kedua, kita perlu sedar bahawa didalam politik semua boleh terjadi. Pak Lah sendiri tidak akan berdiam diri sehinggalah 9 Oktober ini. Penyokong-penyokong beliau akan mencuba sedaya upaya agar Pak Lah bertahan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
19. Sekiranya Pak Lah yakin melepasi kouta pencalonan 58 Bahagian, maka beliau akan membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan Presiden. Jika ini berlaku, maka keputusan mengangguhkan pemilihan hingga Mac 2008 akan memberikan kelebihan kepada Pak Lah.
20. Ini kerana beliau mempunyai masa yang banyak untuk berkempen sehingga bulan Mac 2009. Sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, beliau mempunyai kemudahan yang cukup banyak berbanding dengan kawan beliau.
21. Jika dilihat dari sudut ini, maka penangguhan tersebut merupakan satu strategi dari penasihat-penasihat Pak Lah untuk memastikan beliau terus berkuasa.
22. Jika ini terjadi, maka pertandingan untuk jawatan tertinggi UMNO pada Mac 2009 akan menjadi begitu sengit.
23. Ini akan memberikan kesan negatif kepada negara memandangkan para pemimpin-pemimpin mereka khususnya Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Menteri dari UMNO akan banyak menghabiskan masa untuk berkempen mempertahankan jawatan masing-masing.
24. Apa pun, kita tunggu selewat-lewatnya 9 Oktober ini untuk melihat “game” seterusnya!