Setiap hari keluar dalam akhbar dan TV mengenai sumpah yang dibuat oleh bekas pembantu Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan pada hari Jumaat lalu. Pelbagai ulasan dan komen dibuat oleh pelbagai pihak. Bermacam-macam hujah terpacul dari mulut masing-masing.
Beberapa hari sebelum Saiful Bukhari bersumpah, penulis ada menghubungi seorang kenalan di Kelantan. Sahabat penulis ini telah lama berkecimpung dalam PAS. Cukup taksub dengan Tok Gurunya, YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat.
Apabila bersembang mengenai kisah Anwar, penulis berkata kepada beliau bahawa dalam hal ini, cara terbaik adalah untuk Saiful dan Anwar bersumpah. Sebagai seorang Islam, itulah salah satu cara untuk meleraikan kekusutan dalam hal ini.
Maka sahabat penulis menyatakan bahawa, menurut Tok Gurunya, Dato’ Nik Aziz, Saiful perlu bersumpah dahulu, kerana Saiful yang membuat tuduhan. Sahabat penulis seolah-olah cukup marah dengan Saiful kerana berjanji nak bersumpah, tetapi masih belum menunaikannya.
Apabila Saiful bersumpah pada hari Jumaat lalu, penulis menghubunginya melalui SMS sebanyak 3 kali. Menyatakan bahawa Saiful telah bersumpah dan cara terbaik sekarang adalah Anwar turut sama bersumpah. Kemudian boleh ditutup buku. Namun, tidak mendapat sebarang respon daripada beliau. Entahlah, mungkin masih menunggu komen terbaik Tok Gurunya!
Semalam, penulis sempat bersembang sekejap dengan sahabat penulis yang tinggal di Kuala Lumpur. Seorang bekas pelajar MCKK, sekolah Anwar dahulu. Sahabat penulis bertanya, “Kalau orang bayar kau RM50juta, ko sanggup bersumpah tak?”. Penulis jawab, sebagai seorang Islam, aku takkan berdusta dalam sumpah, kerana sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa. Ya lah, kalau dapat RM1 billion pun, kalau Allah tidak memberkatinya, duit tersebut boleh hilang begitu sahaja dalam sekelip mata.
Jika dilihat, apa yang dipersoalkan sekarang ini adalah tindakan Saiful memegang Al-Quran semasa bersumpah. Ramai yang menyatakan bahwa sumpah Saiful itu menepati syaratnya. Cuma tindakan beliau bersumpah sambil memegang Al-Quran dan melakukannya didalam masjid yang banyak dipersoalkan.
Nampaknya, ramai yang telah lari dari isu sebenar. Apakah intipati sebenar yang perlu diambil dari tindakan Saiful bersumpah? Apa yang penting ialah “sumpah” beliau itu.
Apakah “sumpah” itu menepati syaratnya? Sekiranya ya, maka, konklusinya ialah Saiful telah bersumpah. Dimana beliau bersumpah, bukan perkara pokok. Ini kerana beliau bersumpah di Masjid. Lainlah kalau beliau bersumpah ditempat-tempat kotor seperti tandas!
Tindakan beliau memegang Al-Quran dipertikaitakan kerana dikatakan mengikut cara orang Kristian bersumpah. Ada yang mengatakan bahawa ianya seolah-olah mempermainkan Al-Quran.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali ucapan Wallahi, Wabillahi dan Watallahi cukup membuktikan bahawa seseorang itu bersumpah laknat, namun tindakan Mohd. Saiful memegang al-Quran semasa melakukannya adalah pilihan pemuda itu sendiri [Lihat Disini].
Dalam hal ini, menurut pengarah JAWI, tindakan memegang Al-Quran itu adalah pilihan Saiful sendiri. Soalnya, jika beliau mengetahui adalah memadai dengan hanya ucapan Wallahi, Wabillahi dan Watallahi, mengapa Saiful perlu mengambil tindakan memegang Al-Quran. Tentunya beliau mempunyai sebab tersendiri.
Penulis bukan ahli agama. Oleh itu penulis tidak boleh memberi ulasan mendalam tentang tentang hukum beliau memegang Al-Quran ketika bersumpah, hukum bersumpah didalam masjid didepan imam dan sebagainya.
Apa yang perlu dilihat ialah sumpahnya! Sepertimana orang ingin berkahwin. Apa yang penting adalah akad nikahnya serta memenuhi syarat-syarat nikah yang lain (pengantin lelaki, pengantin perempuan, saksi, wali dan akad). Soal dimana nikah tersebut dibuat, samada di masjid, dirumah pengantin lelaki, dirumah pengantin perempuan, di rumah tok imam, di Thailand dan sebagainya adalah bukan perkara pokok.
Begitu juga soal pakaian ketika upacara akad nikah. Adakah memakai baju Melayu itu menurut syariat Islam. Bagaimana sekiranya jika penganti lelaki memakai kot siap dengan bow tienya? Bukankah itu amalan orang bukan Islam juga!
Apakah hukumnya memberikan Al-Quran sebagai hantaran untuk perkahwinan? Adakah ianya dikatankan mempersendakan Al-Quran sepertimana sesetengah pihak mempersoalkan tindakan Saiful memegang Al-Quran?
Penulis tiada niat untuk mempertahan Saiful atau sesiapa. Tetapi, sedih apabila ramai yang tidak melihat perkara pokoknya dalam isu sumpah Saiful tersebut.
Sebagai seorang Islam, penulis percaya bahawa Allah SWT Maha Berkuasa. Sekiranya seseorang itu sanggup untuk dilaknat jika apa yang dikatakan beliau tidak benar, maka bagi penulis, pokoknya beliau sedia menerima sebarang akibat dari sumpah beliau.
Persoalan samada siapa bersalah atau tidak adalah persoalan lain. Sekiranya Saiful bersumpah laknat bahawa beliau diliwat Anwar, dan selepas ini Anwar bersumpah laknat bahawa beliau tidak melakukannya, maka secara peribadi penulis serahkan kepada Allah SWT.
Dalam hal ini, hanya Allah SWT, Saiful dan Anwar mengetahui perkara sebenarnya!
Ada juga yang berkata kepada penulis, sekiranya benarpun Anwar meliwat, apa yang perlu dirisaukan. Itu adalah hak peribadi beliau! Pehhhhhhh, merah telinga penulis mendengarnya.
Penulis hanya mampu menjawab, sekiranya Anwar tidak berhasrat menjadi pemimpin negara, tidak ingin menjadi Perdana Menteri, maka rakyat tidak perlu peduli hal peribadinya.
Tetapi dalam hal ini, Anwar dilihat sebagai seorang yang bakal diangkat oleh Pakatan Rakyat sebagai Perdana Menteri jika mereka dapat menguasai Parlimen!