[Pandangan] – Mesyuarat Bahagian Yang Merisaukan Pak Lah!

1. Sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam dinanti-nantikan oleh pelbagai pihak. Ramai yang membuat spekulasi bahawa peralihan kuasa dari YAB Dato’ Seri Abdullah kepada YAB Dato’ Seri Najib akan dibincangkan secara panjang lebar.

2. Namun, semasa sidang media diadakan, tidak banyak maklumat tentang peralihan kuasa yang dimaklumkan kepada media.

3. Bernama memetik kenyataan Pak Lah apablia ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti kali ini, beliau menjawab “Sebab mesyuarat (bahagian) belum bermula lagi dan apa-apa yang perlu saya laksanakan, dan apa-apa tindakan yang akan saya buat sekali lagi ke, apa ke, itu terserah kepada sayalah” [Lihat Disini].

4. Bernama juga memetik, apabila ditanya samada isu pelan peralihan kuasa itu dijelaskan semula dalam mesyuarat MT semalam. Beliau berkata “Saya tidak beri penjelasan semula. Saya hanya kata yang saya sedar, saya sentiasa mendengar, saya sedang memberi perhatian kepada apa yang berlaku mengenai situasi sekarang ini dalam parti”.

5. Kenyataan Abdullah kali ini agak berbeza dengan kenyataan-kenyataan sebelum ini dimana beliau sentiasa menegaskan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan akan datang.

6. Dalam kenyataan semalam, Abdullah berkata, memandangkan mesyuarat bahagian belum bermula “apa-apa yang perlu saya laksanakan, dan apa-apa tindakan yang akan saya buat sekali lagi ke, apa ke, itu terserah kepada sayalah”.

7. Nampaknya sekiranya akan berlaku perubahan yang besar kepada pucuk pimpinan UMNO, ianya boleh berlaku seawal-awalnya sebelum mesyuarat bahagian yang bermula pada 9 Oktober 2008.

8. Seperti penulis tulis dalam posting sebelum ini, “Tentulah Pak Lah tidak ingin mencipta sejarah menjadi satu-satunya Presiden UMNO yang kalah semasa pemilihan parti atau tidak cukup pencalonan untuk jawatan Presiden!”.

9. Inilah yang menjadi faktor utama yang mungkin membawa kepada perletakan jawatan Abdullah. Sekiranya beliau membaca bahawa gelombang diakar umbi yang ingin melihat perubahan kepada pucuk pimpinan tidak dapat dibendung dengan apa cara sekalipun, maka apa yang terbaik untuk beliau ialah berundur secara tehormat.

10. Pencalonan dari beberapa bahagian yang bermesyuarat pada 9 Oktober juga tentulah amat merisaukan Abdullah. Apa akan terjadi sekiranya beberapa bahagian yang bermesyuarat pada hari tersebut mencalonkan pemimpin selain dari Abdullah sebagai Presiden.

11. Sekiranya yang dicalonkan ialah Najib, maka ini adalah satu tamparan hebat kepada Abdullah.

12. Oleh itu, perkiraan Abdullah sekarang ialah bolehkan beliau mendapat pencalonan yang mantap dari Bahagian-bahagian UMNO!

13. Sekiranya beliau yakin boleh mendapat pencalonan yang banyak, tentulah tiada apa yang akan berlaku. Beliau tidak akan mengundur diri sebelum 9 Oktober ini.

14. Apapun, segala macam boleh terjadi didalam politik UMNO. Ingatlah kisah Allahyarham Tun Ghafar Baba yang terpaksa menarik diri dari pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1993 apabila beliau tidak mendapat kouta yang cukup untuk jawatan tersebut.

15. Itu berlaku kerana terdapatnya gelombang diperingkat bahagian yang inginkan Anwar menjadi Timbalan Presiden.

16. Namun situasi pada hari berbeza dengan apa yang berlaku 15 tahun lalu. Hari ini kita bercakap tentang jawatan Presiden. Selain itu, pada masa itu, kekalahan Allahyarham Tun Ghafar bukannya disebabkan kerana ahli-ahli UMNO atau bahagian-bahagian tidak sukakan beliau. Bukan disebabkan UMNO lemah. Ianya kerana permainan politik Anwar yang berjaya meraih sokongan padu dari bahagian-bahagian.

17. Apa yang berlaku pada hari ini ialah terdapatnya gelombang diperingkat akar umbi yang ingin melihat Pak Lah berundur dan UMNO dipulihkan semula selepas UMNO dan BN menunjukkan prestasi yang teruk dalam pilihanraya lalu.

18. Ianya bukan kerana mereka taksub dengan Najib, Ku Li mahupun Muhyiddin. Tetapi ramai antara mereka yang sayangkan UMNO dan ingin melihat UMNO pulih dan terus relevan.

19. Tidak dinafikan bahawa penasihat-penasihat Pak Lah tentulah akan mencuba pelbagai cara sebaik mungkin untuk memastikan beliau kekal sebagai Presiden.

20. Tetapi, mampukah mereka-mereka ini membendung gelombang diperingkat bahagian yang inginkan perubahan!

Published in: on September 19, 2008 at 12:04 am Leave a Comment

[Pemilihan Parti] – Pak Lah Tertekan!

1. Selepas Pilihanraya Umum pada 8 Mac lalu, pelbagai pihak telah menyatakan secara terbuka agar YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah meletakkan jawatan.

2. Disebalik pelbagai kritikan dan tekanan agar beliau meletakkan jawatan, reaksi Abdullah menunjukkan seolah-olah tiada apa berlaku. Beliau nampaknya tidak akan meletakkan jawatan atau menyerahkan jawatan kepada Timbalannya, Dato’ Seri Najib.

3. Sekali dua beliau menyatakan bahawa apabila sampai masanya beliau akan menyerahkan kuasa kepada Najib. Namun tiada tarikh spesifik yang dinyatakan.

4. Semasa pertemuan Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang diketuai Najib dengan Badan Perhubungan UMNO di negeri-negeri yang UMNO kalah seperti Kedah dan Selangor, ramai yang hadir meminta agar Abdullah meletakkan jawatan. Merka inginkan gandingan Najib-Muhyiddin.

5. Momentum ini jelas di merata bahagian di tanah air. Mereka inginkan perubahan kepada pucuk pimpinan. Ini termasuklah dalam perjumpaan Abdullah dengan UMNO Johor.

5. Abdullah menyedari tekanan ini. Mereka-mereka yang meminta agar Abdullah meletakkan jawatan mempunyai kuasa undi dalam pemilihan UMNO akan datang.

6. Namun, pada awalnya Abdullah yakin beliau dapat bertahan dengan bantuan penasihat-penasihatnya. Beliau terus mengelak dari mengumumkan peralihan kuasa secara spesifik.

7. Setelah melihat momentum bahagian-bahagian yang inginkan gandingan Najib-Muhyiddin dalam pemilihan UMNO akan datang yang semakin memuncak, Abdullah sedar beliau perlu melakukan sesuatu.

8. Setelah dicongak-congak, pada 10 Julai 2008, Abdullah membuat pengumuman tentang peralihan kuasa kepada Timbalannya, Dato’ Seri Najib pada pertengahan 2010. Ini penting bagi mengendurkan momentum yang inginkan gandingan Najib-Muhyiddin.

9. Selepas peralihan kuasa tersebut diumumkan, keadaan menjadi sedikit reda. Momentum yang inginkan gandingan Najib-Muhyiddin mengemudi UMNO dalam pemilihan UMNO Disember ini mengendur.

10. Najib mengumumkan beliau bersetuju dengan peralihan kuasa tersebut. Muhyiddin pula selepas itu mengumumkan beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden.

11. Dari bulan Julai sehiggalah minggu lepas, Abdullah berada dalam keadaan agak selesa. Najib sentiasa menyatakan kesetiaan beliau kepada Abdullah.

12. Semuanya bertukar apabila Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin membut kenyataan pada 10 September 2008 bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut fikirkan semula mengenai pelan peralihan kuasanya untuk mengundurkan diri menjelang 2010 kerana tempoh masa itu terlalu lama. Menurutnya seperti yang dipetik bernama, pelan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Abdullah dua bulan lepas, dakwanya, telah “tenggelam” dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.

13. Kenyataan Muhyiddin ini mendapat reaksi pelbagai pihak hinggalah kehari ini. Apa yang paling menarik ialah kenyataan dari Dato’ Seri Najib bahawa beliau menyerahkan kepada akar umbi UMNO untuk menentukan bilakah masa paling sesuai peralihan kuasa dilaksanakan.

14. Kenyataan Najib ini ibarat halilintar memanah kem Abdullah. Penasihat-penasihat Abdullah tersentak! Ramai antara mereka yang tertanya-tanya bukankah Najib sebelum ini telah bersetuju dengan peralihan kuasa????

15. Kisah Tan Sri Muhyiddin bertemu dengan Tun Dr Mahathir dan memujuk beliau menyertai semula UMNO lebih menyesakkan penasihat-penasihat Abdullah.

16. Apakah yang akan Abdullah lakukan dalam keadaan tertekan sebegini? Kita tunggu…..

Published in: on September 17, 2008 at 6:48 am Leave a Comment

[Pemilihan UMNO] – Benarkah Pak Lah Dan Najib Sudah Capai Kata Sepakat?

Akhbar hari ini menyiarkan berita mengenai kenyataan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau telah mencapai kata sepakat dengan YAB Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib tentang peralihan kuasa kepada Najib [Lihat Disini].

Menurut Abdullah seperti yang dipetik Utusan,

“Saya dan Najib telah muafakat dan kita berdua telah sama-sama setuju bilakah masanya saya nak bersara dan bilakah masanya Najib akan ambil alih dan menjadi Perdana Menteri.

“Tiada masalah antara kami berdua, jadi tidak payahlah sesiapa pun nak timbulkan perkara ini kerana antara yang hendak menyerah dan menerima sudah ada persetujuan,” 

Kenyataan Pak Lah ini dikeluarkan sehari selepas Najib menjawab persoalan wartawan semasa beliau di UK tentang peralihan kuasa oleh Pak Lah kepada beliau. Menurut Utusan, Najib percaya peralihan kuasa UMNO perlu dilakukan menerusi tradisi konvensional dan bukannya dengan mewujudkan puak-puak yang akan menyebabkan parti lemah serta tidak berupaya menghadapi cabaran pilihan raya [Lihat Disini].

Apa yang menarik, kenyataan Pak Lah dikeluarkan sehari selepas Najib menyatakan bahawa beliau percaya bahawa peralihan kuasa didalam UMNO perlu dibuat secara konvensional, iaitu melalui peralihan kuasa tersusun dan bukannya melalui pertandingan untuk jawatan Presiden UMNO.

Apakah benar persepakatan telah dicapai antara Najib dengan Pak Lah? Sekiranya benar, mengapa Pak Lah perlu berahsia tentang tarikhnya? Bukankah lebih baik sekiranya ianya diumumkan kerana ianya dapat menghapuskan ketidakpastian dan spekulasi?

Atau, adakah Pak Lah tidak mahu komited dengan peralihan kuasa tersebut? Ini kerana, jika diumumkan, maka Pak Lah perlu menunaikan janjinya. Sebaliknya, jika tidak diumumkan, Pak Lah boleh menangguhkan peralihan kuasa tersebut mengikut kehendaknya!

Atau, mungkinkah “kesepakatan” seperti yang dinyatakan Pak Lah semalam sebenarnya tidak wujud! Dalam kata lain, mungkinkah sebenarnya tiada kesepakatan dicapai! Pak Lah mungkin berani menyatakan bahawa kesepakatan telah dicapai kerana secara lojiknya beliau mungkin tahu bahawa Dato’ Seri Najib tidak akan menafikan kenyataan tersebut.

Atau, mungkinkah ini strategi Pak Lah untuk memastikan bahawa beliau mendapat pencalonan yang mantap dari bahagian-bahagian UMNO dalam Pemilihan Bahagian pada Oktober nanti?

Semuanya kemungkinan kerana Pak Lah sendiri tidak menyatakan tarikh yang sebenar!

Published in: on June 14, 2008 at 1:01 pm Comments (1)

[Pemilihan UMNO] – Tun M Keluar dari UMNO. Apakah satu tsunami besar akan melanda politik Malaysia?

Akhbar-akhbar online baru sahaja melaporkan bahawa Tun M mengumumkan bahawa beliau keluar dari UMNO [Lihat Disini][Lihat Disini][Lihat Disini]. Bernama baru sahaja menyiarkan berita tersebut sebentar tadi

Laporan dari majlis di Alor Setar menyatakan bahawa Tun turut membuat cadangan, iaitu sekiranya Pak Lah tidak ingin turun, maka ahli-ahli UMNO perlu beramai-ramai keluar dari UMNO sebagai tanda protes. Ahli-ahli dinasihatkan tidak menyertai pembangkang sebaliknya kembali semula kepada UMNO apabila Pak Lah meletak jawatan. Ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju dengan cadangan Tun di majlis tersebut. Katanya berlaku sedikit ketegangan diantara pihak yang bersetuju dan pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan Tun tersebut.

Dalam tulisan penulis sebelum ini, penulis ada menyatakan seperti berikut:

“Oleh yang demikian, berdasarkan perkembangan semasa, tidak mustahil pelbagai perkara menarik akan berlaku dalam jangkamasa terdekat ini. Dalam konteks UMNO, walaupun pada permukaannya nampak tenang, didasarnya sebenarnya berombak. Berlaku satu tarikan kuat didasar, walaupun air di pantai nampak surut dan ombaknya perlahan. Apabila hampir ke pantai, ombak ini akan membentuk satu gumpalan besar dan menghempas pantai bak Tsunami”.

Gelombang ini sudah semakin ketara nampaknya. Adakah Tun M berkeseorangan dalam hal ini? Mungkin tidak! Adakah beliau hanya bersama 2-3 orang, mungkin tidak! Adakah beliau bersama ratusaan orang, mungkin tidak! Adakah beliau bersama ribuan orang? Mungkin ya! Adakah beliau bersama ratusan ribu orang?, masih belum dapat dipastikan.

Apa-pun, ini hanyalah satu permulaan sebelum tsunami besar melanda. Mengapa beliau memberikan cadangan sedemikian? Bukankah sekiranya ramai ahli-ahli UMNO yang inginkan Pak Lak berundur keluar dari UMNO maka yang akan tinggal dalam UMNO hanya penyokong Pak Lah? Bukankah ini akan memberikan kemenangan mudah kepada Pak Lah dalam pemilihan UMNO bulan Disember nanti?

Inilah yang menjadi persoalan. Adakah Tun M membaca bahawa Pak Lah akan membuat apa sahaja untuk memastikan kemenangan jika berlaku pertandingan sekalipun dalam pemilihan UMNO nanti? Sekiranya ini berlaku, maka tidak akan berlaku sebarang perubahan kepada kepimpinan UMNO.

Secara lojiknya (walaupun tiada lojik dalam politik), jika Tun M merasakan jangkahayat UMNO dan BN dapat dikekalkan hingga ke pemilihan UMNO nanti, tentulah beliau akan bekerja keras bersama mereka-mereka yang ingin melihat perubahan kepada pucuk pimpinan untuk menumbangkan Pak Lah dalam pemilihan UMNO. Bukannya meminta ahli-ahli UMNO keluar dari UMNO? Sekiranya mereka yang mehukan Pak Lah meletak jawatan kelaur dari UMNO, maka yang tinggal didalam UMNO hanyalah penyokong-penyokong Pak Lah sahaja. Ini membolehkan Pak Lah terus bertahan.

Nampaknya mungkin Tun M melihat satu perubahan perlu dibuat segera dan tidak boleh ditunggu sehingga pemilihan UMNO nanti? Tentulah ini mempunyai suatu asas yang kukuh. Sebagai sifu politik, beliau tentulah mendapat pelbagai maklumat dari pelbagai pihak.

Apakah perkara ini dibincangkan dengan Najib semasa perjumpaan hari Ahad minggu lalu? Masih banyak persoalan yang tidak terjawab. Tetapi apa yang hampir terjawab ialah, kemungkinan berlakunya suatu tsunami dalam jangkamasa terdekat. Kita tunggu….

Published in: on May 19, 2008 at 6:08 am Comments (2)

[Pemilihan UMNO] – Najib Sudah Membuka Langkah!

Akhbar hari ini menyiarkan berita Najib telah bertemu Tun Dr Mahathir [Lihat Disini] [Lihat Disini]. Dilaporkan, pertemuan pada Ahad lalu yang diadakan di Sri Satria, kediaman rasmi Najib berlangsung selama 2 jam.

Begitulah Tun Dr Mahathir. Cukup bijak memerangkap Pak Lah dalam hal ini. Hanya minggu lepas beliau mengatakan bahawa Najib tidak mendapat kebenaran dari Pak Lah untuk bertemu dengan beliau. Beberapa hari selepas itu, Pak Lah menyatakan bahawa beliau tidak pernah menghalang Najib bertemu Tun Dr Mahathir. Maka menggunakan hujah Pak Lah itu, pertemuan tersebut diadakan di kediaman rasmi Najib.

Tiada siapa boleh mempersoalkan perjumpaan tersebut kerana ianya telah dibenar atau tidak dihalang oleh Pak Lah. Maka, bila “sifu politik” Malaysia bertemu anak muridnya, tentulah banyak ilmu-ilmu dan jurus-jurus yang diperturunkan. Setelah dimandikan dengan minyak menggelegak, diperlimaukan, dibaca ayat-ayat penguat semangat dan diberi minum air tawar, Najib nampaknya lebih bersemangat.

Maka, tidak tekejutlah jika melihat jawapan Najib keatas pelbagai isu yang dilemparkan pembangkang kepada beliau dalam Parlimen. Menurut Agendadaily, ketua pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah yang menuduh bahawa wujudnya unsur rasuah dalam pemberian kontrak kapal peronda TLDM kepada PSC Naval Dockyard terkedu apabila dimaklumkan bahawa projek penswastaan tersebut telah diluluskan oleh Menteri kewangan ketika itu Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang jua suami Azizah! [Lihat Disini].

Dalam keadaan sekarang dimana mungkin Najib telah mendapat semangat baru setelah bertemu “Sifu Politiknya”, ramai yang semakin panas punggung. Jika sebelum ini acahan Muhyiddin menyebabkan air di dua kawah menggelegak, semangat baru Najib menyebabkan air di kawah milik anak ulamak telah membuak-buak gelegakkannya.

Tiba-tiba sahaja jawapan Najib tempohari menyebabkan air di kawah ketiga semakin panas. Kawah ini milik seseorang yang pernah berada pada kedudukan Najib, sebelum dipecat pada 1998. Kepanasan tersebut bertambah apabila anak Tun Dr Mahathir, Dato’ Mukhriz Mahathir membangkitkan tentang keakraban pemimpin yang dipecat pada 1998 tersebut dengan Paul Wolfowitz walaupun ianya disangkal oleh orang kuat pemimpin tersebut [Lihat Disini] [Lihat Disini].

Jika dilihat keadaan ini, maka pihak Pakatan Rakyat tentunya akan berusaha keras untuk mendapatkan 30 orang ahli-ahli Parlimen BN melompat ke Pakatan Rakyat. Walaupun ianya tidak mustahil, tetapi ianya tidaklah semudah yang disangka. Jika tiada ketentuan bahawa sekurang-kurangnya 30 orang akan menyeberang, maka mungkin sukar untuk menyakinkan mereka melompat. Jika tidak kena caranya, mungkin mereka dapat sampai ke seberang, tetapi sampai sana diseberang, harimau-harimau lapar menunggu!

Selain itu, perkembangan semasa mungkin akan menyebabkan Penasehat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempercepatkan langkah beliau ke Parlimen dengan bertanding di mana-mana kubu PKR. Ini membolehkan beliau membalas hujah-hujah yang berkaitan dengan dirinya. Namun, soalnya adakah beliau sanggup masuk ke Parlimen sekadar sebagi Ahli Parlimen biasa. Bagaimana jika Ahli-ahli Parlimen BN bertindak menyelongkar pelbagai hal berkaitan dengan beliau? Inilah yang menyerabutkan Anwar.

Oleh yang demikian, berdasarkan perkembangan semasa, tidak mustahil pelbagai perkara menarik akan berlaku dalam jangkamasa terdekat ini. Dalam konteks UMNO, walaupun pada permukaannya nampak tenang, didasarnya sebenarnya berombak. Berlaku satu tarikan kuat didasar, walaupun air di pantai nampak surut dan ombaknya perlahan. Apabila hampir ke pantai, ombak ini akan membentuk satu gumpalan besar dan menghempas pantai bak Tsunami. Ketika ini, mereka-mereka yang dapat membaca kehadiran Tsunami ini akan lari menyelamatkan diri. Kepada mereka yang masih asyik menangkap hasil-hasil laut di tepi pantai dan menganggap tiada apa yang berlaku, mungkin akan lesap digulung tsunami. Tepuk dahi kalau tidak fahami!

 

 

Published in: on May 16, 2008 at 12:56 am Leave a Comment

[Pemilihan UMNO] – Muhyiddin Menyebabkan Air di Dua Kawah Menggelegak!

The Star beberapa hari lalu menyiarkan temuramah dengan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin [Lihat Disini]. Sejurus selepas berita tersebut dikeluarkan, Muhyiddin menjadi buruan wartawan. Selepas Majlis Sambutan Kelahiran UMNO ke-62 di PWTC, apabila ditanya wartawan, beliau menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyatakan keinginannya untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi [Lihat Disini].

Jika dilihat temuramah penuh Muhyiddin dengan The Star [Lihat Disini] [Lihat Disini], antara intipati penting kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah terdapatnya sokongan dari akar umbi yang mahu beliau bertanding jawatan yang lebih tinggi. Beliau juga berkata, keputusan untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi bergantung kepada pelbagai faktor dan ini perlu dipertimbangkan secara terperinci oleh beliau. Beliau juga menekankan kepada hak perwakilan untuk menentukan pemimpin pilihan mereka secara demokrasi.

Kilas dari seorang anak guru agama dari Johor ini bahawa ada cadangan dari pelbagai pihak agar beliau bertanding jawatan lebih tinggi menyebabkan air didalam dua kawah menggelegak serta-merta! Satu kawah milik seorang anak dan cucu Ulamak. Satu kawah lagi milik seorang anak kepada bekas Perdana Menteri.

Mereka yang rapat dengan kedua-dua tuan kawah ini semakin merasakan bahangnya. Kepanasan bertambah apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menyambut baik kemungkinan bahawa Muhyiddin akan bertanding untuk jawatan samada Presiden atau Timbalan Presiden [Lihat Disini].

Apabila wartawan The Star bertanya samada beliau akan bertanding untuk jawatan tertinggi, Muhyiddin menjawab “I don’t know”. Beliau tidak menyatakan bahawa beliau akan atau tidak akan bertanding. Inilah ahli politik yang berpengalaman!

Persoalannya, sekiranya Muhyiddin menerima sokongan dari akar-umbi untuk jawatan yang lebih tinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden yang mana satu menjadi pilihan beliau??? Penulis akan menulis tentang isu ini sedikit masa lagi.

Apapun, keberanian Muhyiddin bercakap dan menyatakan kebenaran dan kehendak akar umbi secara terbuka menyebabkan beliau dilihat sebagai seorang pemimpin yang berprinsip! Jika difikirkan kepentingan diri, penulis merasakan tentunya lebih baik beliau berdiam diri dan terus berdondang lagu “kami sokong”. Apa tidaknya, sikap lantang beliau tentunya tidak disukai oleh kepimpinan tertinggi UMNO boleh menyebabkan beliau kehilangan jawatan dan kedudukan. Diketika pemimpian-pemimpin lain tidak berani bersuara kerana takutkan kehilangan jawatan dan kedudukan, Muhyiddin selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sanggup menggadaikan jawatan beliau.

Dalam politik, tiada yang mustahil dan tidak semuanya lojik. Muhyiddin boleh sahaja berdiam diri dan terus mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan akan datang. Sekiranya Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Najib masih mengekalkan sikap “berdiri teguh dibelakang” Presiden dan tidak bertanding menentang Pak Lah, maka kedudukan saf kepimpinan UMNO akan kekal seperti sekarang. Tetapi sejarah negara pernah membuktikan, Timbalan Perdana Menteri tidak semestinya akan menjadi Perdana Menteri. Begitulah juga, Timbalan Presiden UMNO tidak semestinya menjadi Presiden.

Seperti yang diketahui umum, Dato’ Seri Najib bukanlah pilihan Pak Lah untuk menjadi Timbalannya. Hanya selepas ditekan oleh Tun Dr Mahathir, maka Najib diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sekiranya Pak Lah ikhlas inginkan Najib sebagai Timbalannya, maka beliau akan segera membuat pengumunan bahawa Najib adalah Timbalannya sejurus selepas beliau diangkat sebagai Perdana Menteri. Spekulasi bertiup kencang ketika itu bahawa Pak Lah ingin memilih Muhyiddin sebagai Timbalannya dan bukan Najib.

Jika diteliti sejarah, adalah tidak mustahil sekiranya Pak Lah kekal sebaga Presiden UMNO selepas pemilihan UMNO akhir tahun ini, Najib mungkin akan diketepikan Pak Lah. Walaupun diberitakan Pak Lah bersetuju untuk menyerahkan kuasa kepada Najib pada tahun 2010, ianya mungkin hanya akan tinggal janji. Sebagai contoh, Dr Mahathir beberapa hari sebelum memecat Anwar Ibrahim pada 1998 menyatakan bahawa Anwar adalah pengganti beliau! Perlu diingat, Najib tidak mempunyai penyokong yang sefanatik penyokong Anwar yang sanggup bekorban apa sahaja untuk beliau. Sekiranya Najib diketepikan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri sekalipun, kesannya tidak sehebat semasa Anwar dipecat.

Manalah tahu, Pak Lah mendapat ilham agar menggantikan Timbalannya sekiranya beliau kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri selepas pemilihan nanti. Sekiranya ini berlaku, Muhyiddin mungkin mendapat jalan mudah. Maka, sekiranya Muhyiddin mengejar kedudukan, lebih baik beliau berdiam diri dan menunggu rezeki datang bergolek!

 

 

 

 

 

 

 

Published in: on May 13, 2008 at 7:13 am Comments (8)

Pemilihan Parti – Muhyiddin: Henti Bincangkan Isu Kuota [Updated]

Didalam Utusan Malaysia hari ini [lihat disini], Naib Presiden UMNO menyatakan bahawa perbincangan isu kuota perlu dihentikan segera. Menurut beliau, keutamaan adalah kepada usaha memulihkan masa depan UMNO dan “masalah utama UMNO sekarang bukanlah isu kuota tetapi yang lebih penting adalah mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada parti tersebut.”

Jika dilihat dari satu sudut, komen ini ada benarnya. Memang banyak perkara yang masih perlu dilaksanakan dan dibincang selain dari sistem kuota.

Tetapi jika dilihat dari sudut yang lebih kritikal, bukankah isu kuota ini adalah salah satu perkara asas yang perlu diselesaikan bagi memulihkan masadepan UMNO dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti?

Jika tiada rasuah politik dalam UMNO dan kepimpinan UMNO bertanding di padang yang sama rata, penghapusan sistem kuota membolehkan hanya mereka yang terbaik dapat menduduki saf kepimpinan UMNO.

Pemilihan mereka yang terbaik diatas persada kepimpinan UMNO membolehkan rakyat melihat bahawa UMNO betul-betul insaf diatas kekalahan mereka dan telah membuat satu pembaharuan yang baik.

Apabila isyarat dihantar kepada rakyat marhean dan ahli-ahli UMNO bahawa parti sedang melakukan satu pembaharuan besar, mereka mungkin masih dapat memberikan harapan kepada UMNO.

Jadi, jika penghapusan sistem kuota ditangguhkan sehingga ke tahun hadapan, dimana penggunaanya akan dapat dilihat dalam masa pemilihan UMNO yang akan berlangsung dalam masa 3 tahun dari Disember 2008, maknanya rakyat perlu menunggu hampir 4 tahun dari sekarang untuk melihat satu pembaharuan kepada pemilihan kepimpinan UMNO.

Kemudian, setahun selepas itu, pilihanraya akan diadakan. Apakah persepsi rakyat kepada UMNO dalam pilihanraya akan datang akan berubah! Janganlah dinafikan bahawa salah satu punca kekalahan dalam pilihanraya yang lalu ialah kerana kemarahan rakyat kepada sikap sesetengah daripada mereka yang berada didalam saf kepimpinan UMNO. Persepsi rakyat kepada kepimpinan parti memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan mereka terhadap UMNO.

Jadi sekiranya UMNO benar-benar ingin berubah dan ingin mendapatkan sokongan semula dari rakyat, betulkanlah cara pemilihan kepimpinan parti. Berilah peluang kepada ahli-ahli memilih yang terbaik dari yang baik.

Tiada salahnya UMNO berbuat demikian. Dalam keadaan sekarang, kepimpinan UMNO perlu lebih cepat melaksanakan sesuatu perubahan jika dirasakan perlu. Ketepikan birokrasi parti yang tidak perlu. Ini adalah masa untuk bertindak. Bukannya masa untuk terus berbincang sesuatu isu tanpa kesudahan.

Cukuplah UMNO berbincang dan menganalisa bertahun-tahun. Keputusan pilihanraya lalu menunjukkan bahawa perbincangan panjang lebar yang tiada kesudahan tidak akan membawa apa-apa kelebihan kepada parti.

Kepimpinan UMNO pula perlulah menyatakan kebenaran walaupun pahit. Jika sesuatu sistem atau pendekatan tidak sesuai dan tidak mendatangkan manafaat, nyatakanlah. Kita boleh lihat pandangan-pandangan pemimpin tentang isu semasa termasuklah sistem kuota didalam media massa.

Hanya beberapa orang pemimpin sahaja nampaknya berpijak dibumi yang nyata dan cuba menyampaikan hasrat akar umbi. Rasanya ahli-ahli UMNO sendiri dapat melihat fenomena ini dan mengenali pemimpin-pemimpin terbabit.

Namun, masih ramai yang terawang-awangan bermimipi bahawa UMNO masih mempunyai kekuatan yang tidak mampu disaingi lawan.

Kepada pemimpin-pemimpin ini, bangkitlah!!! Nyatakanlah suara akar umbi. Nyatakanlah kebenaran. Apalah sangat jawatan didunia!!! Apalah sangat kedudukan didalam kabinet!! Apalah sangat kedudukan didalam parti!! Kedudukan kita di sisi Allah SWT adalah lebih penting. Perjuangan kita untuk Islam Melayu adalah lebih utama.

Ayuh pemimpinku….berjuanglah atas kebenaran!

Published in: on April 1, 2008 at 11:26 pm Leave a Comment

Pemilihan Parti – Sistem Kuota Jelas Tidak Perlu

Sehari-dua ini media massa banyak membincangkan tentang isu sistem kuota dalam pemilihan UMNO. Ramai yang bersetuju agar sistem ini dihapuskan (contohnya disini) dan ada yang bersetuju ianya dikekalkan (lihat disini).

Alasan yang diberikan oleh mereka yang bersetuju agar sistem ini dihapuskan adalah jelas. Ini kerana ramai yang melihat sistem ini sebagai satu halangan kepada pertandingan bagi jawatan tertinggi di dalam UMNO. Jika ini berlaku, akar umbi tidak mempunyai pilihan yang terhad. Mereka yang mempunyai kedudukan dan terkenal di negara ini mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi jawatan di peringkat Majlis Tertinggi. Ini secara tidak langsung menjejaskan hak ahli-ahli parti untuk memilih mereka yang terbaik bagi memimpin UMNO.

Bagi yang bersetuju agar sistem kuota diteruskan, rata-rata memberi alasan bahawa sistem tersebut penting bagi mengelakkan mereka yang tidak serius dan tidak mendapat sokongan akar umbi bertanding.

Namun mereka yang menggunakan hujah sebegini dilihat seolah-olah memperkecilkan kemampuan perwakilan UMNO untuk memilih kepimpinan mereka. Secara lojik akal, sekiranya seseorang yang tidak mendapat sokongan dari akar umbi atau tidak serius dicalonkan, pada pemilihan parti tentunya perwakilan UMNO tidak akan memilih mereka. Kalaupun ada yang pilih, mereka tidak akan mendapat undi yang cukup dari perwakilan semasa pemilihan untuk memenangi pertandingan diperingkat tertinggi parti. Ini pernah terjadi apabila Vateren UMNO Hj Sulaiman Palestin bertanding melawan Tun Hussein Onn untuk jawatan Presiden UMNO pada tahun 1978.

Jika dilihat semasa Pemilihan UMNO 2004 juga, ada pemimpin yang dicalonkan oleh bahagian-bahagian untuk jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi. Ada diantara mereka yang mengambil keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden sahaja bagi menunjukkan kepada perwakilan bahawa mereka serius bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Ini menunjukkan bahawa perwakilan pada masa itu telah matang dan boleh menilai samada seseorang pemimpin itu serius untuk bertanding sesuatu jawatan dalam UMNO. 

Ada yang mengatakan ianya hanya membuang masa sekiranya ada pertandingan dari mereka yang tidak serius dan tidak mendapat sokongan  akar umbi. Tetapi, sekiranya mereka ini bertanding, kepimpinan UMNO tidak perlulah membuang masa berkempen kerana secara lojiknya mereka yang tidak serius dan tidak mendapat sokongan akar umbi tidak akan menang. 

Lagipun, kos untuk menambah nama calon diatas kertas pengundian atau kos untuk mencetak kertas undi bagi jawatan tertinggi parti bukanlah sesuatu yang signifikan.

Oleh itu, nampaknya ramai yang masih munggunakan hujah yang agak lemah ini dalam mempertahankan sistem kuota . Mungkin ada yang terlupa bahawa ahli-ahli UMNO semakin matang sesuai dengan kematangan usia parti itu sendiri.

Ditambah dengan keadaan UMNO yang terjejas teruk selepas pilihanraya ke 12 lalu, ahli-ahli UMNO dari semua peringkat lebih berhati-hati dalam membuat keputusan demi memastikan UMNO terus relevan.

Didalam keadaan sekarang dimana UMNO memerlukan nafas baru, sepatutnya pemimpin-pemimpin yang berkebolehan dari semua peringkat parti perlu diberi peluang untuk bertanding apa jua jawatan didalam parti. Ini membolehkan hanya mereka yang terbaik sahaja akan terpilih untuk menduduki kerusi Majlis Tertinggi UMNO.

Ramai ahli-ahli UMNO diluar sana yang berjuang ikhlas untuk UMNO, bersih, berintegriti dan mempunyai kebolehan untuk menjamin kesinambungan parti. Tetapi mereka ini mungkin tidak mempunyai peluang untuk mengenalkan diri kepada ahli-ahli UMNO diseluruh Malaysia kerana tidak mendapat akses kepada media arus perdana. Mungkin jika ahli-ahli mengetahui kualiti yang ada pada pemimpin-pemimpin ini, mereka akan menjadi pilihan perwakilan semasa perhimpunan agung nanti.

Oleh itu, pemimpin-pemimpin UMNO perlu memikirkan dengan lebih serius untuk menghapuskan sistem kuota. Tetapi niatnya mestilah untuk memastikan satu anjakan penting dibuat didalam UMNO secepat mungkin dan bukannya kerana sayangkan atau bencikan pemimpin-pemimpin tertentu. Tentang samada pemansuhan sistem kuota ini boleh dibuat tahun ini atau tidak, kata orang tua-tua, “hendak seribu daya, tak nak seribu dalih”.

Published in: on March 31, 2008 at 1:12 pm Comments (4)

Pemilihan Parti – Jawatan Tertinggi Boleh Ditandingi

Berita Terkini Dari Utusan Online:

Jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO boleh dicabar

KUALA LUMPUR 27 Mac – Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini memutuskan semua jawatan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden boleh dicabar dalam pemilihan parti yang akan datang jika ada pencalonan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malah berkata, beliau sendiri sedia untuk dicabar. – Utusan.

…………………………………………………………

Laporan ini menjawab persoalan yang dikemukakan didalam posting sebelum ini, iaitu samada jawatan tertinggi parti akan dicabar atau tidak.

Nampaknya lampu hijau telah diberikan oleh pihak kepimpinan UMNO, iaitu pertandingan diadakan dan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh ditandingi.

Sekarang ini terpulang kepada ahli-ahli UMNO untuk membuat keputusan dan pilihan. Keputusan dan pilihan tersebut perlulah dibuat dengan penuh keikhlasan demi memastikan UMNO terus relevan demi untuk agama, bangsa dan tanahair. Sepertima sebahagian dari lirik dalam lagu UMNO:

Bersama Kita Bersama
Mendukung Hasrat Semua
Berjasa Pada Bangsa
Agama Dan Negara

Published in: on March 27, 2008 at 12:04 pm Leave a Comment

Pemilihan Parti – Utusan Lapor Ku Li Jumpa Ketua Bahagian

Berita dari UtusanOnline 27/03/2008 

Ku Li jumpa Ketua UMNO Bahagian

27/03/2008 4:33pm

KUALA LUMPUR 27 Mac – Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengadakan pertemuan dengan kira-kira 100 ahli UMNO termasuk lebih 10 ketua bahagian di kediamannya di sini.

Antara yang hadir ialah bekas Menteri Penerangan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk Dr. Ibrahim Saad (Batu Kawan) dan Datuk Malek Hanafiah (Taiping).

………………………………………

Apakah perjumpaan ini sekadar satu perjumpaan biasa? Wallahuaklam.

Published in: on at 9:16 am Leave a Comment