[Pemulihan UMNO] - TV3 Siarkan Komen Tun Dr Mahathir, Apa Tandanya??

Penulis tergamam seketika apabila menonton rancangan Buletin Utama TV3 sebentar tadi. TV3 menyiarkan beberapa komen tajam oleh Tun Dr Mahathir. Setelah sekian lama komen beliau jarang disiarkan, penyiaran komen tersebut menimbulkan tanda-tanya. Pada pandangan penulis, komen yang agak tajam itu dalam keadaan biasa mungkin tidak disiarkan?

Adakah sesuatu yang signifikan akan belaku? Penulis secara peribadi tidak menolak kemungkinan tersebut. Bersama-samalah kita berdoa agar agama dan tanahair kita terus terpelihara. Amin

Published in: on May 7, 2008 at 1:20 pm Comments (4)

[Pemulihan UMNO] - Hayatilah Lagu Warisan

Melihat perkembangan politik tanahair kebelakangan ini, sekali lagi disertakan lagu Warisan. Hayatilah lagu ini….

Lagu Warisan

 

Anak Kecil Main Api
Terbakar Hatinya Yang Sepi
Airmata Darah Bercampur Keringat
Bumi Dipijak Milik Orang

Nenek Moyang Kaya Raya
Tergadai Seluruh Harta Benda
Akibat Sengketa Sesamalah Kita
Cinta Lenyap Di Arus Zaman

Indahnya Bumi Kita Ini
Warisan Berkurun Lamanya
Hasil Mengalir Ke Tangan Yang Lain
Pribumi Merintih Sendiri

Masa Depan Sungguh Kelam
Kan Lenyap Peristiwa Semalam
Tertutuplah Hati Terkunci Mati
Maruah Peribadi Dah Hilang

Kini Kita Cuma Tinggal Kuasa
Yang Akan Menentukan Bangsa
Bersatulah Hati Bersama Berbakti
Pulih Kembali Harga Diri

Kita Sudah Tiada Masa
Majulah Dengan Maha Perkasa
Jangan Lalai Teruskan Usaha
Melayu Kan Gagah Di Nusantara

Published in: on May 1, 2008 at 12:36 pm Comments (1)

[Pemuliahan UMNO] - Muhyiddin Membakar Dirinya Untuk UMNO

Selepas temuramah Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Utusan Malaysia disiarkan hari Ahad lalu [lihat disini], pelbagai reaksi dari pemimpin pelbagai peringkat diterima. Ada yang bersetuju, ada yang tidak, ada yang menyindir, ada yang memandir.

Apa yang menjadi tumpuan tentang komen beliau agar peralihan kuasa didalam UMNO dibuat secepat mungkin. Ada yang menyatakan Muhyiddin tidak sepatutnya berkata demikian. Tidak kurang juga yang menyatakan Muhyiddin menyusun langkah untuk bertanding jawatan lebih tinggi. Biasalah pengulas politik, setiap yang keluar dari mulut seseorang itu akan cuba diulas dari pelbagai perspektif. Maka keluarlah seribu satu analisa mengapa Muhyiddin berbuat demikian.

Akhbar Utusan hari ini menyiarkan komen Muhyiddin bahawa beliau tiada niat untuk menentang Dato’ Seri Abdullah Abdullah bagi jawatan Presiden atau Dato’ Seri Najib bagi jawatn Timbalan Presiden UMNO [lihat disini] . Menurut beliau, dalam senario politik yang meruncing, kebenaran terpaksa dinyatakan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu. Menurutnya lagi, “Tiada motif politik, niat saya ikhlas dan bukan tujuan saya untuk bertanding lawan Presiden, Pak Lah atau bertanding lawan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib, itu bukan niat saya”. Beliau menegaskan “Saya melihat apabila diperlukan, dalam keadaan yang kritikal supaya Melayu tidak terjerumus masuk gaung sampai tak bangun lagi, saya perlu bercakap,”

Itulah ulasan Muhyiddin. Bagi beliau, walaupun pahit, kebenaran mesti dinyatakan sebelum ianya terlambat. Beliau hanya menyampaikan luahan akar-umbi. Kenyataan yang dibuat bukanlah satu kenyataan yang “digagahi” sebab-sebab tertentu.

Sekiranya lebih ramai pemimpin UMNO bersikap seperti Muhyiddin, InsyaAllah pemulihan UMNO akan lebih cepat dan sokongan rakyat kepada UMNO akan kembali. Tetapi, beranikah pemimpin-pemimpin lain menentang arus???

Sanggupkah pemimipin-pemimpin lain menjadi tidak popular pada pandangan Presiden UMNO. Sanggupkah mereka menyatakan kebenaran. Jika dilihat perkembangan setakat ini, tidak ramai yang berani. Masing-masing menjaga jawatan dan kedudukan masing-masing. Ialah, siapa sanggup terlepas jawatan Menteri, Ahli Parlimen, ADUN, jawatan-jawatan politik lain dan terlepas projek-projek berkaitan semata-mata berpegang kepada prinsip.

Diantara pendapat atau pendapatan, Muhyiddin memilih pendapat. Namun kebanyakkan pemimpin lain memilih pendapatan. Apapun, itu hak mereka. Rakyat akan menunjukkan hak mereka didalam pilihanraya akan datang!

Published in: on April 17, 2008 at 5:40 am Comments (2)

[Pemulihan UMNO] - Pak Lah vs Najib dan Horward vs Costello

Ini adalah komen yang diterima dari MHS, seorang pembaca blog ini bagi entri - [Pemulihan UMNO] - Pak Lah vs Najib.

———————————————————–

“Punca kepada semua permasalahan ini ialah Pak Lah tidak mahu menerima hakikat bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang lemah dan kurang berwibawa. Beliau memberikan alasan mahu terus berkuasa untuk memperbetulkan keadaan dan memulihkan kembali UMNO. Tetapi, persoalan utamanya, mampukah beliau melakukan apa yang dijanjikannya?

Jika semasa beliau menikmati sokongan padu ahli UMNO, serta majoriti besar di Parlimen (tahun 2004-2007) pun beliau gagal memberikan kepimpinan yang jitu, apatah lagi di dalam kedaan sekarang? Saya berpendapat, sekali lagi, Pak Lah tidak akan mampu mengotakan apa yang dijanjikannya.

Seperti sebelum ini, ini hanyalah satu lagi janji kosong Pak Lah. Berbanding sebelum ini, kini Pak Lah sedang dan akan berhadapan dengan lebih banyak permasalahan besar. Selain daripada cabaran politik dalaman UMNO, desakan dari parti komponen BN juga perlu ditangani. Begitu juga dengan permasalahan ekonomi - seperti inflasi dan kitidaktentuan ekonomi global. Masalah sosial seperti keruntuhan akhlak, pengganguran siswazah melayu, kualiti pendidikan di sekolah & universiti yang meruncing, dll. Mampukah Pak Lah menangani permasalahan ini dikala sokongan kepada beliau semakin lemah?

Pak Lah, terimalah hakikat, anda tidak mampu memimpin UMNO dan Malaysia dengan baik, dan rakyat mahukan perubahan kepimpinan!” .

————————————————————

Intipati dari komen tersebut ialah persoalan samada YAB Dato’ Seri Abdullah boleh mengotakan apa yang dijanji beliau. Menurut MHS lagi, jika sewaktu BN mencapai kejayaan gemilang, dalam keadaan negara yang stabil dari tahun 2004-2007 pun YAB Dato’ Seri Abdullah tidak dapat mengotakan janji-janji kepada rakyat, adakah dalam pergolakan politik sekarang beliau mampu melakukannya?

Ini adalah satu persoalan yang amat kritikal dalam situasi politik sekarang. Masa lebih kurang 4 tahun sehingga pilihanraya umum ke-13 adalah suatu jangkamasa yang singkat. Sekiranya BN nasih berkuasa dalam tempoh ini, banyak perkara yang perlu dilakukan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah untuk memulihkan UMNO, BN dan Negara.

Tetapi, ianya tidak semudah yang disangka. Kehilangan kepercayaan rakyat kepada beliau sepertimana yang diterjemahkan didalam pilihanraya lalu adalah suatu yang sukar untuk dipulihkan. Ianya bukan mengambil masa sehari dua atau sebulan dua. Ianya mungkin memakan masa bertahun-tahun.

Tetapi, dalam kedudukan sekarang dimana banyak pihak meminta supaya peralihan kuasa disegerakan, YAB Dato’ Seri Abdullah berada dalam keadaan tertekan. Ianya juga membukti kepercayaan akar umbi kepada beliau masih belum pulih. Sebaliknya, ianya menunjukkan akar umbi hampir hilang kepercayaan kepada beliau. Walaupun, beliau menyatakan masih mendapat sokongan majoriti, hakikatnya beliau sendiri sedar akan kerapuhan sokongan akar umbi kepada beliau.

Hari-hari mendatang bagi Pak lah adalah amat sukar. Ianya cuma tidak menjadi sukar sekiranya BN kehilangan kuasa di Parlimen Malaysia. Pakatan Rakyat sudah mewar-warkan bahawa ada antara ahli-ahli Parlimen BN akan melompat menyertai mereka. Memanglah jika ditanya pemimpin BN, ianya mustahil. Penulis sendiri tidak bersetuju dengan tindakan melompat parti oleh mana-mana pihak. Tetapi hakikatnya, dalam politik semuanya boleh terjadi dengan izin Allah.

Lupakah kita ucapan YAB Dato’ Seri Abdullah ketika Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, “Saya pantang dicabar..”. Esoknya puluhan ribu rakyat mengikuti perarakan anjuran Bersih itu. Begitu juga dalam pilihanraya lalu, ramai yang mempertikaikan kemampuan pembangkang untuk mengurangkan majoriti 2/3.

Sekiranya ini berlaku, maka sudah tiada gunanya bergayut di dahan rapuh. Tiada guna lagi berbincang tentang peralihan kuasa. Jadilah seperti John Howard dan Peter Costello di Australia. Sebelum kekalahan Parti Gabungan kepada Parti Buruh pimpinan Kevin Rudd, John Horward masih ingin memegang tampuk kuasa. Walaupun telah berkali-kali diminta berundur oleh beberapa pihak didalam parti, John Horward masih ingin kekal berkuasa. Horward berkata beliau akan menyerahkan kuasa kepada Costello bila tiba masanya.

Costello pada satu ketika hampir menentang Horward. Tetapi mengambil keputusan untuk menunggu peralihan kuasa secara baik dari Horward. Akhirnya, didalam pilihanraya akhir tahun lalu, Parti Gabungan mereka tersungkur. Horward tidak mempertahankan kedudukannya didalam parti. Costello yang dikatakan bakal mewarisi kepimpinan tersebut, mengambil keputusan untuk bersara. Akhirnya, Parti Gabungan ketiadaan seorang pemimpin yang berwibawa. Ianya dilihat sebagai sebuah parti yang lemah. Perdana Menteri Kevin Rudd dari Parti Buruh setakat ini menunjukkan prestasi yang baik. Jika dilihat keadaan semasa, maka untuk Parti Gabungan menang didalam pilihanraya akan datang adalah agak sukar.

Jika diletakkan YAB Dato’ Seri Abdullah pada kedudukan John Howard dan Dato’ Seri Najib pada kedudukan Peter Costello, ianya akan memberi satu gambaran yang jelas tentang apa yang bakal berlaku kepada UMNO sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Kepada pemimpinku, letakkanlah kepentingan masyarakat umum melebihi dari kepentingan peribadi. Jika ini berlaku, InsyaAllah tanahairku Malaysia akan aman, makmur dan maju.

Published in: on April 16, 2008 at 12:27 am Comments (0)

[Pemulihan UMNO] - Pak Lah vs Najib

Sehari selepas kenyataan dari Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO tentang keperluan untuk peralihan kuasa dari YAB Dato’ Seri Abdullah kepada YAB Dato’ Seri Najib, kedua-duanya memberi pandangan masing-masing.

Menurut Dato’ Seri Abdullah, beliau akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan UMNO Disember ini. Beliau akan hanya berbincang dengan Dato’ Seri Najib tentang peralihan kuasa hanya selepas pemilihan UMNO nanti [Lihat Disini] dan [Lihat Disini].

Menurut Dato Seri Najib, peralihan kuasa dari Dato’ Seri Abdullah kepada beliau akan dirundingkan sebaik-baiknya [Lihat Disini] dan [Lihat Disini]. Dirundingkan sebaiknya disini boleh ditafsirkan dari pelbagai perspektif. Antaranya, adakah masa terbaik untuk peralihan kuasa adalah selepas pemilihan UMNO?

Tiada apa yang mustahil dalam politik. Dengan izin Allah SWT, semuanya boleh berlaku. Dato’ Seri Abdullah dilantik menjadi Perdana Menteri adalah dengan izin Allah swt. Penulis tidak berminat untuk meramalkan apa yang berlaku. Tetapi bagi penulis, polemik peralihan kuasa ini menimbulkan beberapa persoalan:

a) Sekiranya desakan dari akar umbi meminta supaya peralihan kuasa dibuat secepat mungkin semakin kuat, adakah Dato’ Seri Najib akan hanya mendiamkan diri?

b) Adakah pasti bahawa selepas pemilihan UMNO, Dato’ Seri Najib masih menjadi pilihan Pak Lah sebagai pengganti? Bagaimana sekiranya orang lain yang menjadi pilihan? Sejarah pernah membuktikan bahawa hanya Timbalan Perdana Menteri Keempat didalam pemerintahan Dr Mahathir yang mewarisi tampuk pemerintahan UMNO. Dato’ Seri Najib adalah Timbalan Perdana Menteri pertama dalam pemerintahan Dato’ Seri Abdullah.

c) Sekiranya Dato’ Seri Najib tidak menjadi pilihan sebagai Perdana Menteri, siapakah gerangan yang bakal mengambilalih teraju negara? Dimanakah Dato’ Seri Najib ketika itu?

d) Adakah Dato Seri Najib akan menentang Dato’ Seri Abdullah dalam pemilihan UMNO akan datang? Bolehkan beliau mendapat pencalonan dari 58 Bahagian? Jika boleh, adakah beliau boleh menang apabila menentang Dato’ Seri Abdullah kelak.

e) Sekiranya Dato’ Seri Najib bertanding dan kalah, kemanakah beliau selepas itu? Siapakah yang akan dilantik menggantikan tempat beliau?

f) Sekiranya Dato’ Seri Abdullah menentang Dato Seri Najib dan Abdullah kalah, kemanakah beliau? Akan tercatatkah didalam sejarah Presiden UMNO tewas semasa pemilihan parti?

g) Sekiranya Dato’ Seri Najib tidak menentang Dato’ Seri Abdullah, adakah Ku Li mendapat pencalonan yang cukup untuk menentang Abdullah?

h) Adakah calon lain selain Ku Li yang mampu untuk memberi persaingan kepada Abdullah?

Dato Seri Najib telah mengambil kira semua hal ini dalam menyusun gerak langkahnya. Selangkah yang silap, habis ranap segalanya. Jadi, beliau dilihat amat teliti dalam hal ini. Ketelitian dalam berpolitik adalah amat baik, tetapi kelewatan mungkin boleh membawa musibah.

Akhirnya, persoalan yang paling kritikal sekali, adakah BN yang mana UMNO sebagai tulang belakangnya akan masih menjadi pemerintah Disember nanti??

 

Published in: on April 15, 2008 at 12:28 am Comments (1)

Pemulihan UMNO - Peralihan Kuasa…Soalnya Bila..Bila..Bila..???

Mohon maaf kerana sudah dua hari tidak mengemaskini blog ini. Penulis berada diluar daerah untuk urusan berkaitan.

Akhbar Mingguan Malaysia semalam menyairkan temuramah dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO [Lihat Disini]. Dalam temuramah tersebut, Tan Sri Muhyiddin ada menyatakan bahawa pelan peralihan kuasa perlu dibuat dan dimaklumkan kepada rakyat segera.

Blog ini pernah menyiarkan artikel pada 8 April 2008 mencadangkan agar pelan peralihan kuasa diumumkan segera kepada rakyat bagi mengelakkan ketidaktentuan [lihat disini].

Hari ini pula, Utusan menyiarkan pendapat dari pemimpin-pemimpin UMNO Johor, Dr Mod Fuad Zarkashi, Dato’ Abdul Aziz Sapian dan Aziz Kaprawi yang meminta agar pelan peralihan kuasa disegerakan [Lihat Disini].

Nampaknya Utusan semakin berani menyiarkan berita yang benar. Akhbar tersebut juga dilihat akhir-akhir ini menyampaikan hasrat dan kehendak aka umbi. Semoga Utusan ynag menjadi suara UMNO meneruskan ketelusan mereka dalam menyatakan kebenaran.

Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam temuramah bersama Utusan semalam menjukkan bahawa beliau mendapat banyak maklumbalas dan sedar akan kegelisahan akar umbi. Jika sebelum ini beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan setegas apa yang disiarkan Utusan semalam, perjumpaan dengan pelbagai pihak dalam UMNO telah membolehkan beliau mendapat gambaran sebenarnya.

Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, perjumpaan dengan Badan Perhubungan UMNO Kedah dengan Jawatankuasa Pengurusan UMNO diketuai oleh Dato’ Seri Najib yang turut dihadiri oleh Tan Sri Muhyiddin, Dato’ Seri Ali, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri adalah begitu hangat sekali. Ramai yang menyatakan secara terus terang bahawa mereka ingin melihat berlaku perubahan pada pucuk pimpinan UMNO dengan YAB Dato’ Seri Abdullah meletakkan jawatan dan digantikan dengan Dato’ Seri Najib. Menurut ceritanya, YB Dato’ Seri Mahadzir Khalid, mantan Menteri Besar Kedah juga turut diselar. Namun, kenyataan-kenyataan dari beberapa orang pemimpin UMNO didalam akhbar agak berlapik. Tapi, realitinya, gelombang dibawah amatlah kuat.

Bagi majoriti rakyat Kedah, kemenangan 4 kerusi Parlimen di Kedah dalam pilihanraya lalu adalah kerana faktor Tun Dr Mahathir (dengan izin Allah SWT). BN menang di Kubang Pasu kerana ianya bekas Parlimen Dr Mahathir, BN menang di Jerlun kerana calonnya anak Dr Mahathir, BN menang di Langkawi kerana ianya Pulau Dr Mahathir dan BN menang di Alor Setar kerananya ianya tempat kelahiran Dr Mahathir! Jadi apabila kepimpinan UMNO mengutuk dan mencerca Dr Mahathir, ahli-ahli UMNO di Kedah terasa hati.

Selepas perjumpaan dengan UMNO Kedah, Jawatankuasa Pengurusan UMNO bertemu dengan UMNO Pulau Pinang. Mesyuarat dengan UMNO Pulau Pinang juga hangat. Ramai kepimpinan Bahagian yang meminta supaya YAB Dato’ Seri Abdullah meletakkan jawatan. Walaupun Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata ianya pandangan peribadi pemimpin tersebut, tetapi sekiranya YAB Presiden UMNO diminta meletakkan jawatan oleh UMNO negerinya sendiri, ianya sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.

Nampaknya semakin ramai pemimpin tertinggi UMNO yang berani menyatakan hasrat dan kehendak akar umbi yang sebenarnya. Dengan cara terhormat mereka meminta agar pelan peralihan kuasa diumumkan segera. Kita lihat dalam beberapa hari akan datang, reaksi kepimpinan UMNO dari semua peringkat.

 

Published in: on April 14, 2008 at 1:17 am Comments (3)

Pemulihan UMNO - PM Kata Akan Bersara Bila Tiba Masa. Bila Masanya??

Didalam akhbar hari ini, YAB Perdana Menteri berkata beliau akan bersara bila tiba masanya [Lihat disini]. Menurut beliau, “Saya tidak akan memegang jawatan bertahun-tahun lamanya. Sudah tentu tidak. Saya tidak akan memegang jawatan lebih lama daripada yang sepatutnya.”.

Jika begitu kata beliau, alangkah baiknya dalam keadaan ketidaktentuan ini, YAB PM menyatakan kepada umum dengan lebih jelas pelan persaraanya. Bia rakyat dan pelabur jelas mengenai hal ini. Ianya akan memberi sedikit ketentuan didalam pasaran.

Sekiranya menyatakan dengan secara umum, ianya sekadar menambahkan ketidaktentuan didalam pasaran. Pelan tersebut mestilah merupakan satu pelan yang dapat menjamin kerelevanan UMNO. 

Antara kebaikan menyuarakan pelan persaraan beliau kepada umum ialah:

i) Menghilangkan ketidaktentuan didalam pasaran. Pelabur-pelabur boleh membentuk pelan jangka panjang dengan lebih jelas.

ii) Mengelakkan dari ahli-ahli UMNO membuang masa berkempen terutamanya bagi pertandingan untuk jawatan Presiden UMNO sekiranya persaraan YAB PM adalah sebelum pemilihan UMNO. Ini bagi membolehkan semua pihak menumpukan kepada usaha membangunkan negara.

iii) Membolehkan rakyat terutamanya ahli-ahli UMNO mengetahui pelan penyerahan kuasa didalam UMNO. Sekiranya pelan tersebut dapat memuaskan hati ahli-ahli, mungkin mereka akan bersatu dibelakang UMNO.

iv) Mengurangkan kritikan ahli-ahli terutamanya veteran UMNO kepada kepimpinan Pak Lah. Ini membolehkan tumpuan diberikan kepada pengurusan negara.

Published in: on April 7, 2008 at 10:36 pm Comments (2)

Pemulihan UMNO - Aku Kata Kau….Kau Kata Aku..Akhirnya UMNO Lingkup!!

Perkembangan politik tanahair terutamanya didalam UMNO menjadi semakin becelaru dan mengelirukan. Perang aku kata kau, kau kata aku dah bermula. Nampaknya, perkara ini tidak akan ada kesudahannya.

Akhbar-akhbar dan laman-laman web ini melaporkan bahawa YAB Presiden UMNO dalam perjumpaannya dengan kepimpinan UMNO peringkat bahagian semalam menmaklumkan bahawa kekalahan BN di dalam pilihanraya lalu disebabkan oleh sabotaj oleh orang BN sendiri [Lihat disini dan disini], antaranya ialah dengan menggelapkan wang [Lihat disini].

Sebelum ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad banyak mengkritik YAB Dato’ Seri Abdullah dan menyalahkan beliau diatas pencapaian teruk BN dalam pilihanraya lalu. Semalam YAB Dato’ Seri Abdullah menyatakan bahawa beliau menyerahkan kepada BPR untuk menyiasat sebarang kes berkaitan dengan Tun Dr Mahathir semasa Tun menjadi Perdana Menteri [lihat disini].

Nampaknya prinsip ”aku kata kau, kau kata aku” semakin hangat dalam UMNO. Tidak mustahil selepas ini timbul pula beberapa isu berkaitan. Akhirnya, UMNO dan kepimpinannya akan ditelanjangkan!

Isu berkaitan dengan penggelapan wang kempen pilihanraya oleh kepimpinan bahagian tertentu sungguh memalukan UMNO [lihat disini]. Tidak dinafikan bahawa parti-parti lain juga menghabiskan wang yang banyak untuk berkempen. Apa yang membezakan adalah jumlah yang dibelanjakan. Tetapi dalam keadaan tertekan sebegini, mungkin lebih banyak isu yang akan timbul yang secara tidak langsung akan memburukkan nama UMNO.

Hari-hari yang mendatang masih agak kelam bagi UMNO selagi masing-masing mementingkan agenda sendiri melebihi perjuangan parti. Sekiranya perjuangan didahulukan, maka InsyaAllah UMNO akan terus relevan. Tetapi sekiranya agenda peribadi didahulukan, maka bersedialah unutk melihat UMNO terkubur!!!!

 

 

Published in: on at 1:47 am Comments (2)

Pemulihan UMNO - Golongan Muda Dalam UMNO Perlu Berubah

Untuk meletakkan kembali UMNO pada asas yang betul, pelbagai perubahan drastik perlu dibuat. Keputusan pilihanraya lalu yang menunjukkan golongan muda mula jauh hati dengan UMNO. Ini tidak boleh diambil mudah.

Banyak perubahan perlu dilakukan terhadap perjuangan golongan muda di dalam UMNO yang akan mewarisi parti ini dari kepimpinan yang ada. Imej golongan muda dalam UMNO, samada Pemuda, Puteri atau Putera perlukan satu perubahan drastik.

Walaupun pahit, tapi tidak dapat dinafikan bahawa sebelum ini golongan muda didalam UMNO membawa imej seolah-olah UMNO adalah sebuah parti eksklusif!

Kata-kata seperti “Kau masuk UMNO ni pasal nak cari bisness la tu”, “Susah la tak de connection dengan UMNO, nak dapat kontrak payah”, “Aku rasa nak kena join UMNOlah, baru ada network sikit”, selalu didengar dimana-mana. Apabila mereka-mereka ini bergiat aktif dalam UMNO, tetapi dengan niat untuk kepentingan peribadi, maka jadilah UMNO sebuah parti yang hidup kerana wang ringgit.

Jika dahulu jentera pilihanraya digerakkan dengan wang yang minima, sekarang ini jentera tidak akan bergerak tanpa wang yang maksima! Dahulu poster ditampal secara ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang balasan dan jika diberikan saguhati, sudah merasa cukup gembira, sekarang tidak lagi. Hendak tampal poster perlu dibayar. Jika tidak, kosonglah kawasan tersebut tanpa poster.

UMNO seolah-olah hidup diatas wang. Generasi yang ada sekarang lahir dan membesar dalam suasana negara dalam kemewahan. Keadaan ini mengalpakan mereka. Generasi inilah sekarang berada didalam UMNO.

Tidak dinafikan ada antara golongan muda yang berada di dalam UMNO pada hari ini adalah mereka yang ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan tanahair. Tetapi jumlahnya amat sedikit. Mereka hanyalah minoriti.

Apalah yang boleh dilakukan oleh golongan minoriti ini? Sedang mereka berjuang, berhujah, berdialog, bekerja untuk masadepan agama, bangsa dan tanahair, rakan-rakan mereka berjuang, berbincang, bekerja untuk jawatan, projek dan peluang perniagaan untuk memenuhi poket sendiri. Sedang mereka memikirkan pelbagai masalah yang dihadapi oleh orang Islam Melayu, rakan-rakan lain seolah-olah tidak berminat.

Maka, golongan minoriti ini akan secara perlahan-lahan akan menjauhkan diri mereka dari UMNO. Bagi mereka, “aku mempunyai kekuatan diri dan aku boleh hidup tanpa mengampu didalam UMNO”. Golongan-golongan ini kebanyakkanya professional dan juga mereka yang mampu berdikari tanpa mengharapkan projek atau peluang perniagaan dari penyertaan mereka dalam UMNO.

Dari golongan minoriti ini lahirlah 2 kumpulan. Kumpulan pertama ialah mereka yang emnjauhkan diri dari UMNO dan sekadar melihat UMNO dari jauh. Mereka ini tidak menyokong UMNO secara membuta tuli. Kalau apa yang dilakukan parti dianggap  betul, mereka akan menyokong. Kalau sesuatu itu jelas salah, mereka akan menentang.

Kumpulan kedua ialah mereka yang mengambil keputusan menyeberang ke pembangkang, terutamanya PAS. Dalam keadaan PAS ketika itu hanya memenangi beberapa kerusi, tiada sebarang projek atau peluang perniagaan yang ada. Selain itu, sebagai sebuah parti yang kalah, apalah nilai jawatan kepada mereka. Oleh itu, penyertaan mereka ini didalam PAS lebih kepada keinginan mereka untuk menyumbang idea dan tenaga kepada agama, bangsa dan negara.

Kekosongan yang ditinggalkan oleh golongan minoriti yang ikhlas ini berjuang bersama UMNO ini akan di isi oleh mereka yang berminat dengan UMNO demi untuk mencapai kepentingan peribadi.

Maka, jadilah satu kitaran perjuangan golongan muda didalam UMNO yang meletakkan perjuangan peribadi melebihi perjuangan kepada agama, bangsa dan tanahair.

Untuk memulihkan UMNO, golongan yang dahulunya minoriti didalam UMNO perlu dijadikan majoriti. Manakala, golongan majoriti didalam UMNO yang mementingkan kepentingan peribadi ini perlu disedarkan!

Jika ini berlaku, InsyaAllah masadepan UMNO lebih cerah.

Published in: on April 4, 2008 at 5:50 am Comments (4)

Pemulihan Parti - Lihatlah Pandangan Ahli dari Sudut Positif!

Kemenangan di dalam kekalahan pada pilihanraya umum ke-12 lalu merupakan satu sentakan yang kuat kepada BN. UMNO sebagai tunjang dan tulang belakang BN juga ibarat baru terbangkit dari tidur yang lena setelah terkejut dengan dentuman yang membingitkan telinga dan gegaran yang mengganggu mimpi indah mereka.

Kata-kata kepimpinan tertinggi tidak lagi dipandang dan dilihat oleh rakyat seperti sebelum pilihanraya. Bagi penyokong pembangkang, perkataan “padan muka”, “ambik kau”, “tu la bongkak sangat”, “orang cakap tak nak dengar”, “baru tau hak rakyat” adalah antara yang sentiasa terpacul dari mulut mereka.

Bagi penyokong UMNO, ayat-ayat seperti “harap-harap UMNO sedarlah”, “Syukur Allah bagi kalah sedikit tak kalah terus”, “UMNO perlu berubah”, “pemimpin UMNO perlu dengar rintihan rakyat”, “ini sebab sipolan sipolan lah, kalau tak UMNO tak kalah macam ni” sentiasa keluar dari mulut mereka.

Bagi sesetengah kepimpinan UMNO pula, hujah-hujah seperti “kita masih mendapat sokongan padu”, “hanya 8 kerusi diperlukan untuk mendapat 2/3″, “majoriti rakyat masih menyokong BN”, adalah dendangan yang selalu dimainkan.

Seperti orang yang baru sedar dari lena, masih diawang-awangan, begitulah UMNO dalam 3 minggu selepas menerima tamparan yang hebat dalam pilihanraya lalu. Ramai pemimpin dan ahli-ahli yang masih keliru, yang masih mencongak-congak apa yang terjadi dan yang masih tertanya-tanya kenapa sebegini rupa.

Tetapi apa yang menyedihkan, masih ada pemimpin yang cuba menidakkan atau menganggap seolah-olah tiada apa yang berlaku. Ada yang cuba membandingkan keputusan kali ini dengan keputusan dalam pilihanraya umum 1999 di mana Terengganu jatuh ke tangan PAS. Bagi mereka, pada pilihanraya tersebut orang Melayu juga tidak menyokong BN, sebaliknya ramai yang memilih pembangkang. Mereka berhujah bahawa pada masa itu mengapa tiada tekanan dari akar UMNO supaya kepimpinan parti di”overhaul”!

Nampaknya mereka ini tidak berpijak dibumi yang nyata. Masih ada yang tidak dapat membezakaan antara sokongan kepada UMNO dengan sokongan kepada individu. Ramai yang masih sayang dan menyokong UMNO, tetapi mungkin mereka tidak sukakan individu tertentu.  Kemarahan terhadap individu tertentu tidak boleh disamakan dengan kemarahan mereka terhadap  UMNO. Mereka marahkan individu tertentu kerana sayang mereka kepada UMNO.

Jika tidak, mungkin ahli-ahli boleh biarkan sahaja UMNO tenggelam. Penyokong-penyokong UMNO secara zahir atau penyokong-penyokong senyap UMNO boleh sahaja mendiamkan diri dan tidak menegur UMNO dan kepimpinannya. Mereka boleh sahaja biarkan kapal yang mereka naiki selama ini tenggelam secara perlahan lahan. Ada kapal sebelah yang mungkin mereka boleh tumpang!!

Tetapi mereka tidak sanggup membiarkan  kapal yang banyak berjasa kepada mereka terus tenggelam. Dalam masa tidak sampai 5 tahun, jika tidak dibuat sesuatu, maka sampailah kedasar laut kapal ini. Mereka sedar, jika kapal tersebut tenggelam, peluang untuk timbul semula amatlah tipis.

Hendak ke kapal sebelah, anak-anak kapal masih baru. Mereka masih tiada pengalaman. Walaupun Nahkoda berpengalaman, tetapi ramai yang tidak sukakan sikap nahkoda tersebut. Nahkoda ini pernah sekapal dengan mereka dahulu dan mereka mengetahui pelbagai cerita tentang Nahkoda ini. Jadi, disebabkan karakter Nahkoda dan ketiadaan pengalaman dikalangan anak-anak kapal, mereka kuathir, jika tersilap langkah, kapal sebelah boleh terlanggar bongkah ais dan tenggelam seperti “Titanic”.

Jadi ada yang ingin melihat pergerakan kapal sebelah untuk tempoh beberapa ketika. Jika kapal sebelah nampaknya dapat dikemudi dengan baik, enjinya dijaga rapi, asapnya tidak banyak, mungkin mereka bersedia untuk pindah kekapal sebelah. Ini terjadi sekiranya kapal yang mereka naiki sekarang terus berlubang-lubang disana-sini, enjinnya semakin berkarat, Nahkodanya tidak mengendahkan keadaan laut bergelora dan haluannya tidak jelas.

Oleh yang demikian, kepimpinan UMNO harus sedar bahawa segala teguran keras dari akar umbi adalah kerana mereka sayangkan UMNO. Mereka mengasihi perjuangan UMNO. Mereka mahu UMNO yang banyak berjasa kepada agama dan bangsa mereka terus kekal.

Janganlah disalah anggap sikap mereka. Kepimpinan janganlah terlalu defensif sehingga menyakitkan hati akar umbi. Mereka boleh mendiamkan diri, bersabar dan menunjukkan kemarahan mereka dalam pilihanraya akan datang. Jika ini berlaku, segalanya telah terlambat.

Biarkanlah apa sahaja yang hendak dikatakan akar-umbi. Biarlah mereka bersuara dan menyatakan rasa hati mereka. Bersuara itu lebih baik dari berdiam diri. Pilihanraya lepas telah membuktikan. Ahli-ahli UMNO pada mulanya bersuara, kemudian mereka mendiamkan diri kerana melihat tiada tindakan diambil berdasarkan suara-suara mereka. Dalam diam-diam, rupanya rasa marah mereka dizahirkan diatas kertas undi. Tiada siapa menjangka keputusan pilihanraya lalu sebegitu rupa. Ini kerana akar umbi sudah malas bersuara, tetapi mereka meluahkan marah tersebut dikertas undi.

Dalam keadaan sekarang, sifirnya tidak sukar. Kebenaran = Kebenaran, kenyataan = kenyataan, salah=salah, betul=betul, kehendak ahli = keutamaan parti, sokongan ahli = kejayaan parti, kejayaan parti = kegembiraan ahli, kegembiraan ahli = kemenangan!

Published in: on April 3, 2008 at 2:40 am Comments (0)